Home Utama Titik persamaan perjuangkan kemerdekaan jadi asas kerjasama UMNO-Pas – Hadi

Titik persamaan perjuangkan kemerdekaan jadi asas kerjasama UMNO-Pas – Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Titik persamaan antara UMNO dan Pas dalam memperjuangkan kemerdekaan menjadi asas terjalinnya kerjasama politik kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, titik persamaan itu telah berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, hak agama lain, hak Bumiputera, Bahasa Kebangsaan, hak bermasyarakat majmuk dan lain-lain.

Katanya, pertembungan hanya dalam perbezaan pendekatan dan salah faham dalam perkara cabang yang bersifat teknikal.

“Maka dalam menghadapi cabaran yang lebih besar, kita wajib bersatu dalam perkara dasar dan asas, dan boleh bertolak ansur dalam perbezaan serta bermaaf-maafan dalam pertembungan.

“Islam mendahulukan konsep persaudaraan keluarga dan bangsa, dahulukan hubungan silaturrahim dalam satu keluarga dan satu bangsa, seterusnya hubungan kemanusiaan yang bermasyarakat madani, walaupun majmuk berbagai agama dan bangsa, tetapi tetap wajib bermasyarakat dalam memakmurkan bumi
mengikut ketentuan Allah,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Presiden Pas, pada Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka, PWTC di sini hari ini.

Hadir sama pada himpunan tersebut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Dalam ucapannya Abdul Hadi turut berkata berkata, teori ‘Malaysian Malaysia’ ke arah menghapuskan hak bangsa Melayu dan Bumiputera dan kedudukan agama Islam, adalah ajaran salah yang melanggar sempadan konsep negara ini yang wajib dipertahankan.

Katanya, perkelahian kerana perbezaan bangsa berkonsepkan asabiyah (fanatik) juga salah kerana semua para rasul yang membawa Islam mengajar sayang kepada bangsa masing-masing dan melarang asabiyah.

“Maka alasan slogan ‘Malaysian Malaysia’ kerana diskrimasi terhadap kaum lain adalah tidak benar, bahkan Melayu dan Bumiputera paling menjadi mangsa di zaman penjajahan sejak beratus tahun kerana mereka dahulu berada di sini dan lebih awal menentang penjajah dan menjadi mangsa pertama kezaliman penjajah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan Pas dan UMNO tetap menerima kehadiran bersama kaum lain dalam landskap politik negara kita dengan acuan Islam yang menerima masyarakat majmuk yang dipimpin oleh Melayu Islam.

Katanya, Pas sudah ada bersamanya ahli bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong Pas (yang kini mahu digelar sebagai ‘Pendukung’ Pas) dan parti pelbagai kaum dalam Gagasan Sejahtera, malah, UMNO juga terus menjalin hubungan dengan parti berasaskan kaum lain seperti MCA dan MIC.

“Ini adalah titik persamaan di antara dua parti Melayu Islam yang boleh menerima siapa sahaja yang bersama konsep ini.

“Kita juga bersama menentang siapa sahaja yang mahu merosakkan negara ini yang tidak mahu mengikut acuan kita.

“Kepada rakyat berbagai kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak, marilah kita memelihara perpaduan yang sedia terjalin dan menolak sebarang pendekatan ekstrem yang boleh memecahkan penyatuan ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette