KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Fuziah Salleh didakwa berbohong dan memutar belit kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu pensijilan logo halal.
Naib Presiden UMNO itu berkata, dalam ucapannya semasa Ceramah Perdana di Himpunan Penyatuan Ummah baru-baru ini beliau menyebut ‘saya difahamkan akan dipindahkan di bawah Perbadanan Pembangunan Industri Halal’ dan bukan di bawah Kementerian Kewangan seperti yang didakwa dalam kenyataan Fuziah.
“Pagi tadi saya lihat satu kenyataan media Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Fuziah Salleh dalam portal berita Sinar Harian meminta saya menarik balik kenyataan saya yang mendakwa kononnya saya membuat kenyataan bahawa persijilan logo halal kini di bawah Kementerian Kewangan di dalam ucapan saya semasa Ceramah Perdana, Himpunan Penyatuan Ummah, di Plaza Merdeka PWTC.
“Dalam statement Fuziah Salleh, beliau menuduh saya berkata bahawa kini logo halal di bawah Kementerian Kewangan.
“Sedangkan saya hanya mengatakan dalam ucapan saya bahawa ‘saya difahamkan AKAN DIPINDAHKAN DIBAWAH HDC (Halal Industry Development Corporation), bukan KINI seperti yang dituduh oleh Fuziah Salleh, bermakna kenyataan saya itu belum pasti,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.
Soal Ismail Sabri, adakah Fuziah Salleh tak faham antara akan dan kini.
Secara sinikal, Ismail Sabri berkata, kemungkinan Fuziah tidak dapat mendengar dengan jelas ucapannya atau mungkin juga Timbalan Menteri itu menghadapi masalah pendengaran atau pemahaman akibat terdedah kepada radiasi toksik dari kilang nadir bumi Lynas di Kuantan.
Katanya, sebenarnya Fuziah yang perlu memohon maaf kepada seluruh warga Kuantan dan Indera Mahkota, malah seluruh negara kerana berbohong menipu rakyat tentang Lynas yang kononnya membahayakan kesihatan dan nyawa rakyat.
Apatah lagi sekarang pihak kerajaan Pakatan Harapan sudah membuat keputusan untuk kekalkan Lynas malah difahamkan sisa nadir bumi akan diproses di dalam negara.
“Dimana Fuziah Salleh? Kenapa diam? Kenapa tidak menangis lagi?! Jelas Fuziah Salleh memang pembohong dan putar belit,” tambah Ismail Sabri.
Tegasnya, Fuziah tidak lagi layak menjadi Ahli Parlimen Kuantan dan jika Fuziah Salleh bermaruah dan jujur, beliau sepatutnya meletakkan jawatan kerana menyebabkan penduduk Kuantan dan Indera Mahkota berada dalam keadaan ketakutan bertahun-tahun akibat hasutan dan pembohongannya tentang bahaya kilang Lynas.
“Kini tanpa rasa bersalah, masih berbohong dan memutarbelitkan ucapan saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette