KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam menentukan penutupan mana-mana sekolah di setiap negeri jika bacaan indeks pencemaran udara (IPU) terjejas teruk.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, bidang kuasa itu diserahkan kepada JPN memandang mereka lebih arif tentang keadaan jerebu di kawasan masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Jerebu kita bergantung kepada bacaan IPU dan kita menyerahkan kepada JPN untuk mengikut SOP yang telah ditetapkan.
“Jadi kalau ada mana-mana negeri yang bacaan IPUnya tinggi, dan melepasi tahap bahaya itu, maka JPN akan meneliti keputusan menutupnya.
“Kita berikan kuasa kepada JPN untuk memantau dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan My Digital Maker Fair 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Setakat semalam, sebanyak 220 sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) di daerah Muar dan Tangkak, Johor diarah tutup berikutan jerebu yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200.
Selain Johor, sebanyak tiga sekolah di Johan Setia, Klang Selangor telah diarahkan tutup serta-merta Khamis lalu ekoran bacaan IPU di kawasan itu juga melebihi 200.
Maszlee juga berkata, setiap JPN mempunyai pelan kecemasan tersendiri dan berbeza-beza mengikut negeri di seluruh negara dan beliau tidak dapat menentukan kaedah yang diguna pakai dalam menentukan penutupan sekolah itu.
“Saya rasa setiap JPN mempunyai pelan kecemasan mereka sendiri, agak sukar untuk saya nyatakan bagi setiap negeri sebab kita mempunyai pelan kecemasan yang berbeza,” katanya lagi. – MalaysiaGazette