Home Nasional Kerajaan beri subsidi jika harga minyak naik – Dr Mahathir

Kerajaan beri subsidi jika harga minyak naik – Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media diiringi Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim pada Kejohanan The Putrajaya Boat Race 2019 di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 15 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Tindakan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco susulan serangan oleh pemberontak Yaman, sudah pasti akan memberi kesan kepada harga minyak di seluruh dunia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata di Malaysia, kerajaan mengamalkan pemberian subsidi bagi mengimbangi kenaikan harga tersebut.

“Kalau dia (Arab Saudi) terpaksa henti pengeluaran minyak ditapis sebanyak sejuta tong, sudah tentu beri kesan kepada harga minyak seluruh dunia.

“Tetapi di Malaysia bila harga minyak naik, kita beri subsidi. Di United Kingdom, kalau minyak naik, dia (kerajaan) naikkan cukai. Bagi dia, orang dia tak merungut,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan The Putrajaya Boat Race 2019, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian semasa ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga runcit petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 jika berlaku kenaikan harga minyak dunia berikutan kejadian serangan itu.

Putera Abdulaziz Salman, dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA semalam, berkata Arab Saudi menggantung pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yaman.

Menteri Tenaga Arab Saudi itu berkata serangan tersebut menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais yang membawa kepada gangguan kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan.

Aramco dalam kenyataan berasingan menjelaskan serangan itu mengakibatkan penggantungan pengeluaran 5.7 juta tong minyak mentah sehari.

Serangan dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama Aramco di timur Arab Saudi, adalah yang terbaharu dalam siri serangan ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini.

Pemberontak Houthi berkata, mereka melancarkan operasi berskala besar membabitkan 10 dron di kemudahan itu, lapor televisyen kumpulan itu, Al-Masirah.

— BERNAMA