Home Akhbar Cina KP Sinchew dijemput makan nasi lemak oleh Maszlee

KP Sinchew dijemput makan nasi lemak oleh Maszlee

Dalam "sesi nasi lemak" selama lebih sejam di Putrajaya itu, menteri dan ketua pengarang telah bertukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menjadi perhatian masyarakat Cina.

PUTRAJAYA – Hubungan yang sedikit tegang antara Kementerian Pendidikan dengan Sinchew Daily yang membangkitkan isu pembelajaran Jawi kini berjaya dipulihkan apabila Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengajak Ketua Pengarang akhbar itu untuk bersarapan.

Dalam “sesi nasi lemak” selama lebih sejam di Putrajaya itu, menteri dan ketua pengarang telah bertukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menjadi perhatian masyarakat Cina.

“Perjumpaan ini membolehkan menteri mengetahui secara lebih tepat pendirian masyarakat Cina mengenai isu Jawi dan isu lain yang mencetus kontroversi.

“Nasi lemak yang merupakan sarapan kegemaran semua rakyat telah berjaya menyelesaikan salah faham yang berlaku sebelum ini,” demikian lapor akhbar Cina itu.

Dalam pertemuan itu, Maszlee menegaskan kepentingan komunikasi untuk mengelakkan salah faham yang mungkin berlaku.

Sementara itu, Maszlee berkata, pihaknya  bercadang menerbitkan iklan awam untuk meningkatkan kesedaran sivik.

Beliau berkata, Thailand dilihat mahir dalam menghasilkan iklan yang mengusik jiwa demi mendidik rakyatnya tentang kebersihan alam dan isu lain.

“Malaysia juga berharap iklan seumpama ini diterbitkan dengan bertemakan pendidikan sivik,” katanya.

Tambahnya, pendidikan sivik juga diadakan di sekolah semasa perhimpunan mingguan selain diselitkan dalam kurikulum dan kokurikulum sekolah. – MalaysiaGazette