Home Utama MTUC bantah cadangan benar rakyat Yaman bekerja di Malaysia

MTUC bantah cadangan benar rakyat Yaman bekerja di Malaysia

Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) MTUC yang dijadualkan esok dianggap tidak sah?

KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan membenarkan 10,000 warganegara Yaman yang memegang pas lawatan sosial untuk bekerja di negara ini.

Menurut Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor, faktor kemanusiaan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengenepikan undang-undang negara dengan membenarkan rakyat Yaman untuk bekerja di Malaysia tanpa melalui proses yang sah.

“Rasa simpati dan kemanusiaan kerajaan Malaysia tidak patut diambil kesempatan dengan memberi cadangan sedemikian kerana kaedah tersebut adalah bertentangan dengan peraturan.

“Sekiranya kita bersetuju untuk mengambil 10,000 warga Yaman seperti yang dinyatakan oleh dutanya ke Malaysia, ini akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab bagi buruh asing pelarian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Duta Yaman ke Malaysia, Dr. Adel Mohamed Ali Ba Hamid menyatakan 10,000 warga negara tersebut yang memegang pas lawatan sosial di Malaysia mungkin dibenarkan bekerja di Malaysia di bawah beberapa syarat dan kelayakan yang akan diputuskan tidak lama lagi.

Dr. Adel yang bercakap dengan Bernama berkata, ini merupakan sebahagian daripada program-program usahasama di antara Yaman-Malaysia bagi membantu rakyat negara tersebut di atas dasar kemanusiaan.

Jelasnya, cadangan tersebut masih belum dilaksanakan tetapi telahpun dipersetujui oleh Kementerian Dalam Negari.

Menurut Abdul Halim, Malaysia mempunyai proses dan kaedah tersendiri di dalam mengupah pekerja asing, yang mana ianya berada di bawah kuasa Kementerian Sumber Manusia.

Proses permohonan dan pengambilan pekerja asing sedia ada telah pun diluluskan oleh kerajaan dengan syarat ianya memberi keutamaan kepada tenaga kerja tempatan.

Kesemua proses tersebut katanya mesti mengikut prosedur Pertubuhan Buruh Kebangsaan (ILO).

Tambah Abdul Halim, bagi pelajar-pelajar antarabangsa pula, mereka dikehendaki pulang ke negara masing-masing kerana permit pelajar tidak boleh ditukar kepada permit pekerjaan manakala pemegang pas lawatan sosial pula mesti dihantar pulang ke negara mereka sekiranya mereka bekerja di Malaysia kerana ianya bertentangan dengan Akta Imigresen.

Beliau turut meragui kesahihan status lawatan sosial yang dimiliki oleh 10,000 warga Yaman itu.-MalaysiaGazette