Home Ekonomi Pelabur asing labur RM247.1j minggu lalu

Pelabur asing labur RM247.1j minggu lalu

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia menyaksikan sedikit pemulihan minggu ini, mencatatkan aliran masuk dana asing bersih berjumlah RM247.1 juta dari Selasa hingga Khamis (10-12 Sept) berbanding aliran keluar dana asing bersih sebanyak RM198.0 juta dalam tempoh tiga hari yang sama minggu lepas.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata,  pelabur asing menyumbang 34.68 peratus bagi pasaran minggu ini, sementara institusi tempatan menguasai 45.84 peratus dan peruncit tempatan pada 19.48 peratus.

Bagaimanapun, institusi tempatan menjadi penjual bersih di FBM KLCI minggu ini, dengan aliran keluar berjumlah RM288.4 juta berbanding aliran masuk RM186.2 juta minggu lepas, manakala peruncit tempatan kekal sebagai pembeli bersih, mencatatkan aliran masuk sebanyak RM41.3 juta minggu ini daripada RM11 .9 juta minggu lepas.

“Trend itu selari dengan peningkatan prospek dalam rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang dijangka diadakan pada Oktober.

“Selain itu, China telah mengumumkan pengecualian tarif untuk beberapa produk diimport dari AS dan begitu juga AS telah menunda pelaksanaan tarif tambahan lima peratus ke atas import dari China ke 15 Okt,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata Bank Pusat Eropah juga telah mengurangkan kadar kemudahan deposit mereka sebanyak 10 mata asas kepada -0.5 peratus dan memperkenalkan pengurangan kuantitatif sebanyak 20 bilion euro sebulan pada mesyuarat Majlis Gabenor pada Khamis.

“Ringkasnya, persekitaran luaran adalah menggalakkan, sekurang-kurangnya untuk jangka masa segera dan ini telah diterjemahkan kepada sentimen lebih baik dalam pasaran,” katanya.

Mengenai prestasi Bursa Malaysia, ia memulakan minggu ini dalam kedudukan kurang memberangsangkan berikutan hujung minggu yang panjang, diheret terutamanya oleh kejatuhan mendadak saham Axiata dan Digi selepas pembatalan cadangan penggabungan mega Axiata-Telenor yang diumumkan pada 6 Sept. Bursa Malaysia diniagakan di bawah paras psikologi 1,600, terjejas oleh jualan asing.

Bagaimanapun, FTSE Bursa Malaysia KLCI berjaya melepasi paras 1,600 pada Rabu, yang disokong oleh kaunter minyak dan gas yang mempamerkan prestasi kukuh seiring dengan kekuatan ditunjukkan dalam harga minyak global, kata seorang penganalisis.

Tetapi, pelabur asing, katanya, beralih daripada pasaran kewangan Malaysia berikutan data rizab antarabangsa kasar yang tidak menggalakkan, yang menyusut sebanyak 0.4 peratus kepada US$103.5 bilion pada 30 Ogos 2019, berbanding bulan sebelumnya.

Pada Khamis, Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian, sebahagiannya disebabkan aktiviti pengambilan untung di tengah-tengah aliran menurun dalam kalangan pasaran ekuiti utama Asia Tenggara susulan keputusan peruntukan serantau dibuat oleh pengurus dana untuk beralih daripada pasaran berkenaan, katanya.

Bagaimanapun, belian di saat akhir meningkatkan Bursa Malaysia untuk mengakhiri urus niaga minggu ini dalam kedudukan positif, menjelang satu lagi hujung minggu yang panjang, berikutan adanya petunjuk baharu dagangan terutamanya saham spesifik yang telah menunjukkan pertumbuhan pendapatan serta saham jenis pengguna yang berdaya tahan.

Sementara itu, keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada Khamis disifatkan sebagai langkah baik untuk ringgit.

“Kurangnya langkah untuk menurunkan lagi kadar juga diterjemahkan kepada pengukuhan ringgit. Ringgit yang lemah mempunyai kesan besar terhadap perbelanjaan pengguna di Malaysia.

“Ini dapat dilihat dalam data import terbaru yang menyaksikan penurunan besar. Ini menunjukkan bahawa ringgit, yang telah menyusut dalam tempoh beberapa bulan, memberi kesan terhadap kemerosotan permintaan domestik dan jika ini berterusan terlalu lama, ia akan memberi kesan terhadap pertumbuhan keluaran dalam negara kasar, ” katanya. – MalaysiaGazette