KUALA LUMPUR – Pemimpin Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas dicabar bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan profesional untuk menarik sokongan anak muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), A’zlan Abu Bakar berkata, penglibatan pihak ketiga itu tidak boleh dikesampingkan kerana mereka berupaya untuk memulihkan kepercayaan anak muda kepada UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional ini.
“Tuntut mencabar semua pemimpin anak muda berganding bahu dengan NGO serta golongan profesional bagi menjayakan agenda besar Muafakat Nasional yang menjadi nafas baharu kepada rakyat hari ini.
“Hari ini kita lihat anak muda yang menjadi penyumbang tertinggi undi dalam Pilihan Raya Umum menjadikan petunjuk buat mereka memilih sebuah kerajaan bermula daripada pemimpin itu sendiri.
“Inilah cabaran buat Pemuda UMNO dan Pas agar Muafakat Nasional ini dilihat sebagai pilihan keapda pengundi kelak. Inilah antara ‘new deal‘ yang perlu diperlihatkan oleh Muafakat Nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, UMNO dan Pas melakar sejarah tersendiri apabila sepakat untuk menandatangani Piagam Muafakat Nasional yang mengandungi enam hasrat utama.
Antara enam hasrat utama itu ialah berkaitan akidah, keimanan dan keikhlasan, agenda besar, jaminan permuafakatan, elakkan pergeseran, tonggak kepimpinan serta kekal selama-lamanya.
Pada majlis itu, UMNO diwakili presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi manakala Pas pula adalah Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, A’zlan menyifatkan Muafakat Nasional ini sebagai penyatuan semula dua parti Melayu terbesar itu yang pernah menjalinkan kerjasama politik dalam Parti Perikatan pada 1973.
“Kita menyaksikan kerjasama yang dijalinkan sebelum ini hanya bertahan dalam tempoh hampir 5 tahun dari 1973 hingga 1978, dan akhirnya kerjasama itu tidak dapat diteruskan.
“Kita lihat piagam ini sebagai kesinambungan di mana kerjasama atau penyatuan dua parti terbesar iaitu antara UMNO dan Pas untuk berperanan sebagai pasukan pembangkang di Malaysia.
“Sudah tentu wujud pelbagai cabaran dalam pembentukan Muafakat Nasional yang perlu diberikan penekanan dan kajian terperinci agar kerjasama ini tidak gagal sekali lagi,” katanya.
Katanya lagi, Muafakat Nasional kini memberi kelebihan kepada UMNO dan Pas serta menjadi tempat bergantung dan mengadu kepada rakyat selepas kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji pilihan raya lalu.
“Kami melihat Muafakat Nasional ini sudah pasti menjadi satu tempat bergantung rakyat itu sendiri atau peluang kedua untuk rakyat memilih kerajaan yang lebih elok ideal dalam pilihan raya akan datang.
“Pembentukan gagasan ini juga sudah pasti memberi ancaman dan cabaran kepada pentadbiran Malaysia Baharu, hari ini.
“Ini kerana ada yang melihat penyatuan ini sebagai satu kekuatan kepada UMNO dan Pas untuk kembali membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan PH,” katanya.
Sementara itu, A’zlan tidak dapat menolak wujudnya persepsi buruk bukan Melayu dan Islam terhadap Muafakat Nasional yang dilihat bersifat perkauman kerana ia dipelopori oleh UMNO dan Pas.
“Wujud pandangan negatif rakyat berbangsa Cina, India dan lain-lain bangsa di Malaysia yang merasakan penyatuan ummah ini bersifat perkauman.
“Kami lihat ia adalah tidak sama sekali. Oleh kerana Piagam Muafakat Nasional ini turut disokong oleh rakan parti gabungan mereka sendiri yang mewakili bangsa Cina dan India.
“Namun pembentukan Muafakat Nasional merupakan asas untuk mengembalikan semangat pejuang atau penyokong akar umbi kedua-dua parti itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette