Home Dunia Kartun Spongebob ada unsur keganasan

Kartun Spongebob ada unsur keganasan

JAKARTA – Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) menghantar surat amaran kepada stesen televisyen GTV pada 5 September lalu kerana menyiarkan filem The Spongebob Squarepants.

Dalam satu kenyataan yang di laman webnya, KPI berkata, penyiaran filem berkenaan dianggap melanggar peraturan penyiaran (P3) dan standard program (SPS).

Jelasnya, filem yang disiarkan pada 6 Ogos jam 11.14 pagi menerusi program Big Movie Family di GTV itu mengandungi perlakuan ganas seperti memukul muka menggunakan papan, menghentak kepala menggunakan bola boling, membaling tukul ke muka dan melempar pasu bunga kaktus dengan menggunakan raket.

Filem yang disiarkan sekali lagi pada 22 Ogos jam 3.02 petang di saluran yang sama dilaporkan mengandungi perlakuan ganas seperti memukul muka menggunakan kayu dan melempar sebiji kek ke muka.

KPI percaya filem tersebut telah melanggar Artikel 14 Peraturan KPI yang menyatakan unit penyiaran mestilah mematuhi kepentingan kanak-kanak dari segenap aspek produksi penyiaran.

Surat itu turut memasukkan Artikel 37 program standard KPI yang menyatakan sesebuah program penyiaran yang diklasifikasikan sebagai R dilarang untuk menunjukkan kandungan yang mungkin menggalakkan kanak-kanak dan remaja belajar mengenai sikap tidak baik.- Agensi