SHANGHAI (Reuters) – Perdana Menteri China, Li Keqiang mengakui negara tersebut sukar untuk mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada kadar enam peratus atau lebih disebabkan asas permulaan yang tinggi ditokok dengan pelbagai faktor antarabangsa yang rumit.
Ekonomi kedua terbesar dunia itu berhadapan dengan tekanan ekoran pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan di samping peningkatan protektionisme dan unilateralisme.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China berkembang 6.3 peratus pada separuh pertama tahun ini dan menurut Li, ekonomi negara tersebut pada amnya adalah stabil bagi tempoh lapan bulan pertama 2019.
“Sukar untuk China mengekalkan pertumbuhan enam peratus atau lebih disebabkan pelbagai situasi antarabangsa yang rumit ketika ini dan asas (KDNK) yang secara relatifnya sudah sedia tinggi.
“Ini adalah kadar yang dicatatkan oleh barisan hadapan ekonomi-ekonomi utama dunia,” katanya dalam satu temubual dengan media Rusia yang kemudiannya disiarkan di laman web kerajaan China, gov.cn.- Agensi