Home Politik Bermunajat untuk hilangkan jerebu

Bermunajat untuk hilangkan jerebu

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh

KUALA LUMPUR – Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) hari ini mengajak seluruh umat Islam agar bermunajat, memohon bantuan daripada Allah bagi menghilangkan musibah jerebu.

Menurut ketuanya, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, langkah itu perlu kerana fenomena jerebu telah menimbulkan masalah kesihatan kepada rakyat di negara ini.

“Ramai yang mengalami masalah kesihatan, banyak sekolah ditutup dan pelbagai urusan terpaksa ditangguhkan. Musibah jerebu yang melanda negara tidak boleh dipandang enteng,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata pihaknya turut mengecam pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab merosakkan dan mengabaikan kelestarian alam sekitar sehingga menyebabkan berlakunya jerebu yang menjejaskan kesihatan awam.

“Hal ini bukan perkara yang baharu, malah berlaku saban tahun. Tiada tindakan drastik oleh pihak-pihak tertentu untuk mengurangkan masalah-masalah tersebut,” katanya lagi.

Fenomena jerebu mengakibatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Sarawak terus mencatat bacaan tidak selamat pagi ini, dengan Sri Aman di Kuching mencecah tahap berbahaya.

Menurut bacaan Jabatan Alam Sekitar, IPU pada pukul 5 petang ini di Sri Aman adalah 407, meningkat secara berterusan dari bacaan 201 pada pukul 10 malam semalam.

Masalah jerebu juga mengakibatkan peningkatan 30 peratus kes rawatan mata di seluruh negara sehigga hari ini. -MalaysiaGazette