KUALA LUMPUR – Dakwaan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik wujud unsur sabotaj yang dilakukan oleh penjawat awam sehingga mencetuskan kekeliruan isu penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) adalah tidak masuk akal.
Ia seolah-olah menjadi sifat pemimpin PH iaitu menyalahkan orang lain atas kelemahan mereka, kata Datuk Ahmad Said.
Bekas Menteri Besar Terengganu mendakwa, simpton menyalahkan pegawai kerajaan adalah jalan keluar yang mudah untuk atasi masalah tidak berapa cerdik dan wajar dihentikan.
“Sikap kurang senang Pakatan Harapan dengan penjawat awam sudah menjadi budaya pentadbiran dan sebelum ini Perdana Menteri sendiri pun mahu kurangkan jumlah kakitangan di sektor kerajaan.
“Isunya bukan pendedahan penjawat awam yang menjadi fokus tapi kenyataan kerajaan melalui menteri yang akan menyatukan universiti menjadi isu lalu mencetuskan polemik.
“Hentilah budaya membenci penjawat awam kerana anda yang baru setahun jagung mentadbir negara tidak akan ke mana tanpa perlaksanaan oleh anggota perkhidmatan awam.
“Bahkan pentadbiran negara tidak akan berjalan baik jika nakhoda tidak sehaluan dengan kelasi,” ujarnya dalam kenyataannya di media sosial hari ini.
Ahmad berkata demikian mengulas kenyataan Maszlee yang mendakwa sabotaj pihak tertentu dengan menyebarkan mengenai penggabungan UMT dan UniSZA menjadi punca perkara itu mencetuskan kekeliruan.- MalaysiaGazette