Home Nasional Dua lelaki warga India didakwa bunuh pasangan suami isteri warga emas

Dua lelaki warga India didakwa bunuh pasangan suami isteri warga emas

Anggota Polis membawa dua warga india, Sagar Sharma, 24 (kanan) dan Shubham Sharma, 19 (kiri) untuk didakwa atas pertuduhan membunuh pasangan suami isteri di Subang Jaya bulan lalu di Mahkamah Majistret Petaling jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 17 SEPTEMBER 2019

PETALING JAYA – Dua lelaki warga negara India hari ini didakwa di Mahkamah Majistret 2, di sini atas kesalahan membunuh pasangan suami isteri warga emas pada bulan lalu.

Kedua dua tertuduh, Sagar Sharma, 24 dan Shubam Sharma, 19, dibawa ke mahkamah dengan kenderaan pelbagai guna (MPV)  polis Toyota Innova dengan tangan bergari pukul 9.02 pagi tadi.

Pertuduhan dalam bahasa Inggeris dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir disebabkan ketiadaan jurubahasa Hindi.

Kedua-dua tertuduh mengangguk kepala sebagai memahami pertuduhan yang dibacakan itu dan tiada pengakuan direkodkan.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Lim Ah Kee@Lim Kok Hoe, 79, dan isterinya Tan Siew Mee, 52 pada lebih kurang 8 malam pada 23 Ogos hingga jam 2.30 pagi 24 Ogos 2019

Tertuduh masing-masing berusia 19 dan 24 tahun yang berasal daripada Ludhiana, Punjab India itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada malam 23 Ogos dan awal pagi dan 24 Ogos lalu di sebuah kondominium milik mangsa yang beralamat di The Main Palace Residence, Jalan USJ 21/10, USJ 21, Subang Jaya.

Kedua-dua tertuduh boleh dihukum dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun gamat seketika apabila jurubahasa wanita terus menyebut bahawa kedua-dua tertuduh faham pertuduhan dan memohon dibicarakan sebelum meminta maaf.

Pendakwaraya Hakim Amir Abdul Hamid mengendalikan pertuduhan manakala kedua dua tertuduh diwakili peguambela Gerard Lazarus, Gabriel Susayan dan Navin Punj dan Pegawai Penyiasat adalah Asisten Superintendan Mohammad Daniel Lee Abdullah.

Gerard bagaimanapun bangun meminta mahkamah memberikan sedikit masa kepada pihaknya untuk mendapatkan laporan bedah siasat mayat kedua dua mangsa dan memohon majistret menetapkan tarikh sebutan kes.

Mohamad Ikhwan menetapkan 18 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kedua dua tertuduh yang berpakaian kemeja T dan seluar pendek dibawa keluar dari bilik mahkamah. Mereka didakwa telah menyewa bilik di rumah pasangan mangsa itu sebelum disyaki melakukan pembunuhan.

Bercakap di luar mahkamah, Gerard berkata, kedua dua tertuduh datang ke Malaysia menggunakan visa yang sah untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi ketika ini visa sudah tamat tempoh.

Katanya, keberadaan kedua dua tertuduh di negara ini kini berstatus haram secara teknikal disebabkan visa tamat tempoh dan hanya mampu bertutur dalam bahasa Hindi.

“Kita tadi tidak ada penterjemah dalam Hindi dan apabila mencuba baca dalam bahasa Inggeris mereka mengangguk kepala sebagai memahami pertuduhan.

“Kini kami menunggu laporan lengkap bedah siasat kedua dua si mati sementara menunggu tarikh sebutan 18 November ini.

“Keduanya dicaj dibawah seksyen 302 KK walaupun insiden itu berlangsung pada tarikh dan waktu berbeza tapi tak pasti bagaimana Timbalan Pendakwa Raya boleh caj di bawah seksyen sama tetapi kami tak nak meletakkan sebarang hujah mengenai pendakwaan dan penggunaan seksyen hari ini kita tunggu autopsi dulu sebelum mengetengahkan hujah hujah terperinci,” ujarnya.

Pada 26 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan penemuan mayat wanita warga emas itu yang merupakan Pengurus sebuah restoran makanan di pusat membeli belah Subang, Tan Siew Mee, 52 dalam beg pakaian dengan kepalanya dibungkus beg plastik hitam dalam parit jam 5.30 pagi oleh seorang juruteknik syarikat telekomunikasi di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 Shah Alam, Selangor.

Empat hari kemudian polis yang mencari suami mangsa berusia 79 tahun untuk membantu siasatan kes dikejutkan dengan satu lagi mayat dalam beg pakaian di sebuah parit berhampiran Putera Heights, sstesen LRT Alam Mega, Subang yang dikenalpasti sebagai suami mangsa itu. – MalaysiaGazette