KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas tidak akan lemah dengan ungkitan kisah lampau dan kegagalan kedua-dua parti itu pada masa lalu, sebaliknya semakin diingatkan permusuhan itu, semakin kuat penyatuan dan semangatnya untuk memperbetulkan keadaan dan kembali membawa kebaikan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, apa yang dilakukan oleh UMNO dan Pas sekarang adalah untuk menjadikan bangsa dan negara ini lebih baik.
“Gelarlah apa pun kepada kami. Ungkitlah seribu cerita dan percakaran yang kami pernah lakukan ke atas sesama kami sebelum ini. Teruskan bercerita tentang kegagalan kami yang lalu.
“Tetapi, ingatlah. Semua itu tidak akan sedikit pun melemahkan kami. Semakin kami diingatkan tentang perseteruan sesama kami umat Islam pada masa lalu, semakin kami terpanggil untuk bersatu dan kembali berbaik-baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, beliau tidak menyangka Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) oleh UMNO dan Pas mengundang prejudis oleh DAP tetapi juga pemimpin Islam yang menjaga perihal Islam.
Secara sinikal, Khaled berkata, beliau tidak menyangka Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa (PAN) menjadi pemerhati dari jauh, mengintai dan mengikut rapat majlis tersebut dengan minat yang mendalam, hinggakan segenap perincian dan perjalanan majlis HPU ini ditelitinya penuh tekun.
Ia termasuk siapa yang suaranya lebih kuat ketika bernyanyi, siapa yang laungannya lebih lantang ketika bertakbir, malah tempat pelancaran yang dibuat di PWTC pun dipertikaikan kononnya tidak neutral.
“Saya sendiri yang hadir pun tidak meneliti perkara tersebut sebegitu mendalam. Malah, ketika orang Melayu yang hadir ke PWTC tempoh hari baru mula membahaskan isi kandungan piagam yang bersejarah tersebut, beliau telah terlebih dahulu mengkhatam dan menelaah isi kandungannya. Demikianlah berminatnya beliau dengan semua ini.
“Namun, saya kesal sikap prejudis dan pesimis beliau melihat orang Melayu dan Islam serta rakan-rakan bukan Melayu kami bersatu seolah-olah itu adalah jenayah kepada bangsa, agama dan negara,” ujarnya.
Selepas penghinaan demi penghinaan yang dilemparkan oleh pemimpin DAP sebelum ini tidak dipedulikan, Khaled yakin parti cauvinis tersebut kini terpaksa mengerahkan ‘ekor’ mereka pula untuk mengutuk usaha perpaduan orang Melayu.
Kata Khaled, pada mereka, negara ini akan lebih mudah ditadbir, lebih mudah untuk maju dan moden jika orang Melayu tidak lagi bersatu, dan jika orang Islam tidak hadir sebagai satu ummah yang berkongsi tekad dan matlamat.
Sebaliknya, apabila orang Melayu selaku bangsa induk negara ini bercakaran dan dipecah-pecahkan oleh ideologi politik yang berbeza-beza, maka itulah makna sebenar demokrasi dan kebebasan.
Itulah definisi sebenar politik yang progresif dan barangkali, itulah pengisian terbaik Malaysia Baharu, sindir Khaled lagi.
Tetapi, beliau yakin, ramai sekali mereka di luar sana dapat melihat betapa mengarut dan dangkalnya pemikiran sebegini.
Ia kerana, penyatuan ummah yang dipamerkan oleh UMNO-Pas bukanlah berkisar tentang siapa Islam dan siapa yang bukan tetapi satu seruan untuk orang Melayu bersatu.
Dengan penyatuan sebegini, akan lebih mudah untuk orang Melayu dan bukan Melayu di negara ini bekerjasama dan membentuk Muafakat Nasional.
Penyatuan ummah ini adalah satu seruan yang bertitik tolak dari kesedaran lepas, lantas UMNO dan Pas berubah serta melakukan penambahbaikan kepada diri dan parti.
“Kami mahu menjadi suara orang Melayu Islam yang bukan sahaja mewakili bangsa induk negara ini dengan lebih berkesan. Tetapi, melalui Muafakat Nasional ini, kami mahu memastikan orang bukan Melayu boleh dilindungi dan diberikan hak mereka dengan lebih adil,” katanya.
Menurut Khaled, serangan lapuk dan skrip kitar semula Mujahid bahawa Barisan Nasional gagal menjaga institusi orang Melayu seperti MARA, Tabung Haji dan sebagainya hanya menunjukkan betapa beliau masih taasub dan terperangkap dengan cerita lama.
Mujahid, katanya, masih mahu mengungkit-ungkit kerana tidak mahu UMNO-Pas berubah dan seolah-olah cacing kepanasan apabila kesilapan UMNO dan Pas mahu diperbetulkan.
“Di mana semangat hijrah, sokongan ikhlas dan doa yang tulus yang sewajibnya hadir apabila melihat orang lain ingin berubah dan melakukan kebaikan? Beginikah akhlak dan sikap Muslim yang beliau ingin pamerkan untuk diikuti oleh orang bukan Islam?
“Berbekalkan rasa bangga yang menebal kerana kononnya ramalan YB benar belaka, saya boleh mengusulkan kepada UMNO dan Pas untuk menganugerahkan pingat nujum negara kepada YB. Bukan mudah untuk mereka yang dahulunya berguling di jalanan kini menjadi pengulas politik yang berat sebelah. Saya percaya, bukan mudah untuk YB menyerang saudara seagama yang ingin berbaik-baik. Melainkan semua itu adalah keterpaksaan kerana memakan budi mereka yang menaja kelangsungan politik parti YB.
“Sekalipun YB benar-benar mahu mengimbas ucapan pemimpin-pemimpin Pas sebelum ini, saya sarankan kita imbas bersama petikan ucapan mantan Yang Dipertua Pas semasa Muktamar Tahunan Pas Malaysia, Allahyarham Haji Yusof Rawa, yang juga ayahanda YB yang sangat saya hormati. Lama dahulu beliau pernah menyeru agar kita, selaku umat Islam untuk ‘menjadi mereka yang mentarbiah atau ditarbiahkan’
“Dan yang paling mengesankan saya YB, pesanan arwah untuk kita berhati-hati. Kerana, ‘tidak mustahil, musuh-musuh Islam sendiri berusaha mewujudkan jemaah-jemaah Islam tertentu untuk memangkitkan perpecahan di kalangan pencinta Islam dari dalam,” katanya. – MalaysiaGazette
Takbir! ALLAHU AKBAR!