KUALA LUMPUR – AirAsia melancarkan laluan eksklusif ke Da Lat, Vietnam dari Kuala Lumpur empat kali seminggu yang bermula pada 20 Disember ini.
Da Lat terletak di wilayah Lam Dong, kawasan tanah tinggi Vietnam yang dikenali sebagai Kota Musim Bunga kerana cuacanya yang nyaman dan dibangunkan sebagai sebuah bandar riadah oleh Perancis pada awal tahun 1900.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, AirAsia adalah penerbangan antarabangsa pertama yang terbang ke Da Lat.
“Pelawat dari Malaysia tidak lagi perlu memandu tiga jam dari Nha Trang atau lima jam dari Bandar Ho Chi Minh untuk melawat bandar yang indah ini,” katanya di sini.
Bagi meraikan laluan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua untuk ahli bagi Kuala Lumpur-Da Lat daripada serendah RM99 bermula sekarang hingga 29 September 2019 bagi perjalanan antara 20 Disember 2019 dan 27 Mac 2020, di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.
Promosi tambang termasuk semua yang tercatat adalah untuk ahli AirAsia BIG sahaja.
Tambang termasuk semua untuk bukan ahli bermula daripada RM104 untuk perjalanan sehala termasuk cukai. – MalaysiaGazette