KUALA LUMPUR – Saksi kelapan perbicaraan 1Malaysia Development (1MDB) hari ini membuat pendedahan mengejut bagaimana beliau dibayar sehingga beribu-ribu dolar oleh Jho Low.
Apa yang lebih mengejutkan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu, Jho Low telah memberi wang itu sebagai wang ‘saku’ kepadanya setiap kali saksi itu ke luar negara ketika lawatan rasmi mengikut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Amhari yang merupakan bekas pegawai khas ketika Najib menjadi perdana menteri berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas dengan peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Sebelum itu, Muhammad Shafee secara bertubi-tubi bertanya kepada Amhari Effendi adakah Jho Low memberikan wang kepadanya.
Malah kata Amhari, Jho Low memberikan wang tersebut walaupun secara realitinya beliau menerima bayaran elaun khas ke luar negara daripada kerajaan.
Kata Amhari, dirinya pernah memperoleh wang poket beribu dolar daripada Jho Low ketika mengikuti lawatan kerja di Amerika Syarikat dan London yang juga disertai oleh ahli perniagaan dalam buruan itu.
Shafee: Selain daripada wang USD200,000 yang dikatakan pinjaman oleh Jho Low kepada kamu, pernahkah dia beri kamu wang lain?
Amhari: Pernah. Saya pernah terima wang daripadanya seperti ketika berkunjung ke luar negara bagi urusan rasmi ikut Perdana Menteri.
Shafee: Berapa yang dia bagi kamu?
Amhari: Err..saya tidak ingat.
Shafee: Banyak sangat ke kamu dapat sehingga tidak boleh ingat apa-apa?
Amhari: Mungkin beribu-ribu dolar ketika melawat New York dan London.
Shafee: Jho Low bagi kepada pegawai lain sekali duit poket ini? Adakah dia bagi secara terbuka?
Amhari: Seingat saya, tidak. Dia tidak berinya secara terbuka.
Selain daripada pengakuan itu, Amhari juga mendedahkan bagaimana dirinya dijemput untuk perbincangan sulit di kediaman Jho Low di Jalan Kia Peng.
Pendedahan itu juga sebenarnya menyebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah kediaman milik Jho Low tahun lalu.
Kata Amhari, dirinya pernah mengunjungi rumah Jho Low sebanyak dua kali dan dibawa ke bahagian dapur yang mana terdapat sebuah papan putih yang menjadi tempat Jho Low melakar apa yang sedang mereka bincangkan berkaitan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
Pemeriksaan balas masih lagi berjalan dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah ketika ini oleh Muhammad Shafee. –MalaysiaGazette