KUALA LUMPUR – Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin Holdings) menjadi peruncit pertama negara menyahut inisiatif kerajaan dalam meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) apabila memasang panel solar photovoltaic (PV) di pasar raya besarnya.
Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) itu telah dimeterai bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui GSPARX Sdn Bhd untuk memasang PV di bumbung Mydin Mall Manjoi, Ipoh, Perak.
Panel solar berkapasiti 324 kilowatt-peak (kWp) itu dijangka membolehkan penjimatan sehingga RM3.24 juta di Mydin Mall Manjoi untuk tempoh 25 tahun kontrak perjanjian.
Dengan perjanjian itu, Mydin Holdings berharap dapat meneroka peluang kerjasama baharu untuk cawangan-cawangan pasar raya besarnya.
“Langkah kecil ini diharap dapat membuka peluang kerjasama bagi tujuh lagi cawangan hypermarket kami,” kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.
SARE dimeterai adalah antara GSPARX Sdn Bhd yang merupakan 100% anak syarikat TNB Renewables Sdn Bhd (milik penuh TNB) dengan Mydin Holdings.
Perjanjian itu juga meliputi skim Meter Tenaga Bersih (NEM) yang akan membolehkan Mydin Holdings memindahkan lebihan tenaga yang dijana oleh panel solar kepada TNB pada kadar sama seperti pelanggan membeli dari TNB.
TNB menyasarkan untuk menjana 1,700 MW RE menjelang 2025 selari dengan hasrat kerajaan yang mahu 20 peratus tenaga elektrik dijana melalui sumber RE. – MalaysiaGazette