SUNGAI BULOH – Penduduk yang terlibat dengan perobohan rumah di Paya Jaras Hilir di sini menganggap alasan kerajaan Selangor bahawa projek pelebaran sungai yang hendak dilaksanakan bagi mengelak banjir dianggap sebagai tidak masuk akal.
Ini kerana mereka mendakwa, tidak pernah berlaku banjir di kawasan itu sehingga boleh menjejaskan penempatan penduduk di kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Faisel Mohd Shapie, 47, berkata, penduduk di kawasan itu tidak pernah menghadapi banjir teruk sebagaimana yang cuba digambarkan oleh kerajaan negeri dalam alasannya untuk meroboh rumah mereka.
Mengakui memang pernah ada berlaku banjir kilat di situ akibat aktiviti mencuri pasir oleh pihak tidak bertanggungjawab namun keadaan hanya sementara.
“Saya boleh katakan ia satu pembohongan jika banjir dijadikan alasan untuk mereka meroboh rumah kami. Kejadian banjir itu pun hanya sekali dan tidak berlaku lagi selepas itu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Noriah Ujang, 63, juga turut menyokong pendapat Faisel sambil memberitahu, banjir tidak menjadi masalah kepada penduduk di kawasan berkenaan kerana ia tidak berlaku.
Namun, apa yang pernah dialami penduduk ialah apabila sungai di tempat mereka berbau busuk apabila ada kilang-kilang di situ membuang sisa-sisa toksik selain terdapat satu kawasan penternakan khinzir yang turut mengalirkan najis ke dalam sungai tersebut.
“Dulu, sungai di sini ada banyak ikan dan udang. Anak-anak saya dulu selalu memancing di sungai ini tapi sejak ada pusat ternakan khinzir dan kilang tersebut ia sudah mengubah keadaan di sini,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang warga emas yang turut menjadi mangsa, Mohd. Shafie Abdullah, 68, pula yakin ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang cuba menjadikan penduduk sebagai mangsa demi mengaut keuntungan dengan cuba mendapatkan projek membina tebatan sungai.
Ujarnya, beliau tidak kisah sekiranya sungai itu hendak dilebarkan tetapi mempersoalkan mengapa ia perlu melibatkan perobohan rumah penduduk.
“Sebenarnya sungai ini sudah besar pun. Buat apa nak diperbesarkan lagi? Tidak logik kalau rumah diroboh semata-mata nak besarkan sungai,” ujarnya yang telah tinggal di situ sejak 40 tahun lalu. – MalaysiaGazette