Home Utama DAP tubuh jawatankuasa khas perangi berita palsu ciptaan UMNO-Pas – Kit Siang

DAP tubuh jawatankuasa khas perangi berita palsu ciptaan UMNO-Pas – Kit Siang

Beberapa pemimpin DAP dikatakan akan menyertai MCA namun desas-desus itu dinafikan pemimpin DAP.

KUALA LUMPUUR – DAP akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mempromosikan celik media sosial dan memerangi berita palsu serta elemen kebencian yang akan diketuai oleh Ketua Pemuda Sosialis parti itu, Farhan Haziq Mohamad.

Penubuhan jawatankuasa itu diputuskan berikutan perang persepsi yang didakwa dilancarkan oleh gabungan UMNO-Pas bertujuan mewujudkan suasana bimbang, takut dan benci dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam bahawa hak serta kepentingan mereka digugat oleh DAP yang mendominasi kerajaan Pakatan Harapan.

Perkara itu dinyatakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan di laman blognya hari ini.

Sambil menyifatkan serangan terhadap DAP sebagai tidak munasabah, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pada masa yang sama parti itu juga dituduh oleh MCA, Gerakan, MIC dan SUPP tidak mempertahankan hak serta kepentingan bukan Melayu terutamanya orang Cina.

Menurut Kit Siang, percanggahan yang dihadapi oleh DAP itu berpunca daripada sikap pemimpin parti pembangkang yang tidak sebenarnya tidak berminat dengan nasib orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban atau pelbagai agama serta budaya di negara ini.

Beliau mendakwa, pembangkang lebih mementingkan survival diri sendiri dan mahu berkuasa semula dengan cara memanipulasi pelbagai isu dan mengaitkannya dengan DAP sebagai anti-Islam, anti-Melayu dan anti-Raja Melayu.

Oleh itu, katanya, adalah penting untuk Malaysia memupuk literasi sosial media scara serius supaya masyarakat dapat membezakan antara perkara yang benar dan palsu. – MalaysiaGazette

+ posts