SUNGAI BULOH – Penduduk Paya Jaras Hilir yang menghuni khemah sementara selepas rumah mereka dirobohkan kerajaan Selangor berharap agar penderitaan yang dialami tidak akan berpanjangan.
Rata-rata penduduk yang menjadi mangsa dan penghuni khemah yang didirikan oleh Pas kawasan Sungai Buloh memberitahu, mereka tidak pernah terfikir menjadi insan sedaif itu dalam sekelip mata.
Malah, perkara yang sangat dibimbangi mereka ketika ini ialah tentang tahap kesihatan ekoran terpaksa tinggal di khemah yang tidak berdinding dan terdedah kepada serangan nyamuk selain faktor keselamatan.
Seorang penduduk, Holilah Ahmad Akir, 32, berkata, tinggal bersama tiga anaknya yang masih kecil di khemah itu sememangnya menyeksakan.
Katanya, mereka terpaksa mendapatkan ihsan daripada jiran-jiran untuk mandi dan membuang air kerana tidak ada kemudahan tandas disediakan kepada penghuni khemah tersebut.
“Kami risau dengan budak-budaklah. Sebelum ini di sini tiada kipas, baru malam tadi disediakan. Memang panas tinggal di sini.
“Baru tadi disediakan bantal dan selimut untuk kami guna pada malam ini. Alhamdulillah, ramai yang simpati terhadap nasib kami yang tinggal di sini,” katanya.
Sarina Syarifuddin, 25, pula berkata, tidak pernah terlintas difikirannya untuk tinggal dalam khemah seperti itu bersama dua anaknya yang salah seorang daripadanya baru berusia tiga bulan.
Ujarnya, dia kasihan dengan anak-anaknya itu yang terpaksa berdepan dengan situasi sukar dan tidak selesa.
“Dalam keadaan getir ini suami saya cuma mengingatkan kepada saya supaya bersabar dalam menghadapi cubaan besar ini. Apa lagi yang kami boleh buat kalau sudah ditakdirkan begini,” katanya yang telah tinggal di situ sejak 16 tahun lalu.
Sementara itu, Mohd. Azman Emewan, 27, pula sedih dengan nasib yang terpaksa ditempuh oleh isteri dan tiga anaknya.
Katanya, dia tidak ada sebarang perancangan kerana masih kebingungan dengan situasi yang dialami.
“Saya tak nampak lagi lepas ini hendak ke mana. Memang belum boleh berfikir.
“Saya hanya mengharapkan agar kerajaan negeri sekarang ini menyediakan rumah yang selesa buat kami semua,” katanya yang tinggal di rumah peninggalan ayahnya bersama adik beradik dan ibunya yang sedang uzur sebelum ia dirobohkan. – MalaysiaGazette
Rahmatan lil a’lamiin