KUALA LUMPUR – DAP pastinya akan berdiam diri dengan penganjuran Kongres Maruah Melayu yang digerakkan oleh bekas pemimpin-pemimpin UMNO yang lompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ini kerana, penganjuran kongres itu boleh memecahkan Melayu dan menguntungkan DAP, dakwa Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah,
“Saya percaya DAP akan berdiam diri atas penganjuran Kongres Melayu ini kerana itulah tujuan Lim Kit Siang cadangkan pada Tun Mahathir agar ditubuhkan Bersatu supaya Parti Bersatu boleh memecahbelahkan Melayu bagi menguntungkan DAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Lantaran itu, beliau berharap majoriti orang Melayu boleh menilai penganjuran kongres ini hanya merupakan gimik untuk menandingi Muafakat Nasional
Tegasnya, selaku parti dalam kerajaan, Bersatu tidak perlu pun menganjurkan kongres kerana ia adalah retorik, apatah lagi digerakkan oleh individu-individu yang meninggalkan perjuangan kerana masalah dan kepentingan diri.
“Berhentilah dari menjadi alat DAP untuk memecahbelahkan orang Melayu.
“Dalilnya cukup banyak. Kedudukan agama Islam terganggu, kepentingan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera semakin dihakis. Kedaulatan Raja Melayu dipermainkan. Pendidikan dan kebajikan Melayu semakin tidak dibela dan banyak lagi kalau hendak dituliskan. Semua ini berlaku sejak Kerajaan PH memerintah negara.,” ujar beliau.
Sebaliknya, tegasnya, kini adalah masa untuk Bersatu terus bekerja untuk membela rakyat setelah Kerajaan Pakatan Harapan dilihat tiada kemampuan membela kepentingan Melayu di negara ini.
“Untuk apa Kongres Maruah Melayu? Kuasa sudah ditangan anda. Gunakanlah demi kepentingan dan maruah Melayu. Bertindaklah. Jangan terus dibiarkan pelbagai kepentingan dan maruah Melayu dirosakkan,” tambahnya.
Shamsul Anuar turut mempersoalkan penganjuran kongres berkenaan yang tidak menggunakan nama parti Bersatu walaupun dianjurkan pimpinan parti tersebut.
Secara sinikal, beliau berkata, ia adalah bukti Bersatu tidak berani ke depan memperjuangkan kepentingan Melayu. – MalaysiaGazette