KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) berharap bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), serta industri pembukuan dan bahasa diberi keutamaan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Okt depan.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, kementeriannya terus komited memenuhi aspirasi pendidikan iaitu untuk menawarkan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat.
“Kita ingin memastikan bidang TVET menjadi sebahagian daripada benda penting untuk dibawa dalam bajet kali ini.
“Kita juga ingin mempersiapkan mahasiswa kita dengan kemahiran-kemahiran yang mereka perlukan untuk menjadi lebih berdaya saing di pasaran kerja,” katanya kepada Bernama.
Maszlee berkata kementeriannya juga akan memberi penekanan terhadap Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dalam banyak perkara di peringkat pra-sekolah sehingga ke peringkat universiti.
Belanjawan 2020 bertemakan Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi, mencerminkan dasar kerajaan yang menggalakkan pertumbuhan berkualiti untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi yang mana pertumbuhan dapat dirasai setiap lapisan masyarakat.
Dalam Belanjawan 2019, sektor pendidikan diberi peruntukan terbesar sebanyak RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan kerajaan untuk tahun tersebut. – MalaysiaGazette