KUALA LUMPUR – Perodua melancarkan Perodua Axia 2019, kereta berciri keselamatan canggih yang paling mampu milik di Malaysia.
Enam varian Perodua Axia 2019 ditawarkan – E, G, GXtra, SE, AV dan varian baharu Style dengan harga atas jalan sebelum insurans antara RM24,090 dan RM43,190.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sejak tempahan dibuka pada 22 Ogos lalu, lebih 5,000 tempahan diterima.
Varian teratas Perodua Axia 2019, iaitu AV, dilengkapi dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0, yang terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/h), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control untuk mengurangkan risiko pelanggaran.
Semua varian dari GXtra dan ke atas didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC), dan semua varian kecuali varian E mempunyai ABS dengan Pengagihan Daya Brek Elektronik. ISOFIX juga terdapat pada semua varian, manakala varian SE dan AV pula dilengkapi dengan filem tingkap keselamatan dan solar.
Tambahan baharu kepada keluarga Axia adalah varian baharu Style, yang didatangkan dengan bumper hadapan dan belakang yang tampil lebih lasak dengan elemen skid plate, cladding badan, lampu belakang lensa jernih, moulding bumbung, spoiler belakang dan rim aloi lima-jejari 15-inci.
Warna baharu Sunrise Orange yang eksklusif bagi varian ini melengkapkan gaya ala-ala crossover.
“Perodua Axia Style baharu mewakili keinginan untuk tampil berbeza dan unik, menyerlahkan sisi aktif dan keseronokan yang wujud dalam diri kita semua, pada masa yang sama mengekalkan ciri-ciri Axia iaitu kualiti, praktikal, luas, rekabentuk pintar dan mudah dipandu,” kata Zainal.
Dengan kecekapan bahan api 22.5 km/l untuk manual, 21.6 km/l untuk auto dan 20.8 km/l untuk varian Style baharu, perintis Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) Malaysia ini masih menjadi antara kenderaan paling cekap bahan api di negara ini. – MalaysiaGazette