GEORGE TOWN- Di sebalik kekangan kewangan kerajaan, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam PerkhidmatanAwam di Malaysia (CUEPACS) tetap berharap kerajaan bermurah hati untuk memberikan bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji kepada kakitangan awam di bawah Bajet 2020.
Menurut Presidennya, Datuk Azih Muda usaha dan kegigihan kakitangan perlu diiktiraf.
Katanya, ramai kakitangan awam sangat berharap kepada kerajaan memperuntukkan bonus dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan bulan depan.
“Mereka bertanya sama ada diberikan bonus atau tidak pada tahun ini.
“Saya yakin terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam memastikan kakitangan awam diberikan bonus.
“Walau apa pun situasinya, sumbangan kakitangan awam perlu diambil perhatian bagi memastikan negara kekal harmoni dan aman.
“Berapa banya bonus yang mahu diberikan, itu terserahlah kepada kemampuan kerajaan.
“Kami berharap sekurang-kurangnya bonus sebulan gaji,” katanya di sini hari ini.
Selain bonus, CUEPACS juga berharap kerajaan akan mengkaji semula Skim Pencen yang tidak pernah disemak sejak 17 tahun lalu.
Jelasnya, sudah tiba masanya skim baharu diperkenalkan bagi memberi lebih banyak manfaat kepada lebih sejuta kakitangan awam.
Tambah Azih, CUEPACS juga berharap, gaji asas pada 2020 akan berada di atas garis kemiskinan.- MalaysiaGazette