Home Politik Guan Eng betulkan rakan dalam Kabinet, usah sibuk dengan MCA

Guan Eng betulkan rakan dalam Kabinet, usah sibuk dengan MCA

Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – MCA hari ini mempersoalkan apakah tindakan DAP terhadap Menteri Keusahawanan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang secara terang-terangan menyokong kempen beli barangan buatan Muslim.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, parti itu masih gagal memahami kenyataan Mohd Redzuan dalam mempertahankan gerakan “Beli Produk Islam”, yang sebelum ini dijadikan kempen boikot barangan keluaran bukan Muslim.

Sedangkan katanya, peruncit, peniaga, pengeluar dan pembekal yang mengundi Pakatan Harapan (PH) mengharapkan Menteri Kabinet menyokong promosi buatan Malaysia.

Kelmarin, Mohd Redzuan berkata, kempen membeli barangan Muslim tidak salah selagi ianya tidak memboikot produk lain.

Beliau berkata, suhu perkauman yang meningkat akibat kempen tersebut berlaku sejak kebelakangan ini akibat salah faham terhadap usaha mengalakkan pembelian barangan keluaran muslim tanpa menolak produk bukan Muslim.

“Tidak salah dengan beli barangan Muslim ataupun barangan bukan Muslim kerana ianya terpulang kepada citarasa pengguna itu sendiri yang membuat keputusaan.

“Kita tidak boleh paksa orang membeli makanan kalau tidak menepati citarasa pengguna itu sendiri kerana kita mengamalkan pasaran terbuka,” kata Mohd Redzuan.

Berhubung kenyataan Mohd Redzuan itu, Ti mempersoalkan apa pula ulasan Guan Eng tentang kenyataan tersebut.

“Kenapa DAP tidak mengulas kenyataan Mohd Redzuan tetapi dengan pantas menemplak MCA dalam isu yang sama?.

“Daripada mempersoalkan pendirian MCA (berhubung isu tersebut) bagi mengalihkan isu PH dan meskipun Presiden MCA membuat kenyataan jelas mengenai isu berkenaan, apakah pula pendirian DAP dan Lim Guan Eng berhubung sokongan Mohd Redzuan terhadap sokongan beli barangan buatan Muslim?,” soalnya.

DAP sebelum ini pernah mempersoalkan pendirian MCA berhubung isu boikot beli barangan buatan Muslim yang didakwa disokong oleh UMNO.

Artikel berkaitan:Guan Eng, mana ada boikot? Saya sudah tanya Pas dan UMNO

DAP kesal Pas, UMNO enggan tolak kempen boikot kerana ‘menambah pahala’

Isu boikot produk bukan Islam: MCA, MIC tak tahu malu, kata Guan Eng

Ti berkata, daripada Guan Eng memberi perhatian dan tumpuan kepada MCA, adakah Setiausaha Agung DAP itu sudah menasihati dan memperbetulkan rakannya itu.

“Adakah mereka berani untuk mengambil tindakan dan bersikap tegas dengan menolak, menyaman atau menegur Mohd Redzuan secara terbuka atau semasa mesyuarat Kabinet dan menegaskan PH harus menyokong “Beli Kempen Malaysia,” soalnya lagi. – MalaysiaGazette

Kempen membeli barangan Muslim tidak salah – Mohd Redzuan