Home Dunia Iran janji buru dan hancurkan penyerang

Iran janji buru dan hancurkan penyerang

Gambar hiasan

DUBAI – Iran akan bertindak ke atas pihak yang melakukan serangan terhadap negara itu meskipun mereka hanya melakukan serangan terhad.

Negara itu juga, menurut Ketua Revolutionary Guards, akan menghancurkan pihak yang agresif terhadap mereka.

Ini adalah susulan serangan terhadap loji minyak Arab Saudi dan tindakan kerajaan Amerika Syarikat yang menyalahkan Iran terhadap serangan berkenaan.

“Sila berwaspada, tindakan agresif terhad tidak akan selama-lamanya terhad.

“Kami akan memburu penyerang tersebut.

“Selepas menjatuhkan hukuman kepada mereka, kami akan meneruskan pemburuan sehingga pengganas dihancurkan sepenuhnya,” kata Jenetal Mejar, Hossein Salami dalam satu ucapan yang disiarkan di stesen televisyen Iran.

Presiden Donald Trump pada Jumaat meluluskan penghantaran pasukan tentera bagi mengukuhkan pertahanan udara dan misil Arab Saudi selepas serangan pada 14 September lalu.

Iran menafikan penglibatan dalam serangan berkenaan.

Puak Houthi yang merupakan sekutu Iran dan ketika ini sedang berperang dengan sekutu-sekutu Arab Saudi dalam perang saudara Yaman mengaku bertanggungjawab.

Dalam pada itu Ketua Cawangan Aeroangkasa Revolutionary Guards, Amirali Hajizadeh berkata, sebarang serangan yang dilakukan terhadap Iran akan “dihancurkan”.

Beliau berkata demikian di pameran awam “Hunting Vultures”, di mana bangkai dron-dron yang telah ditembak jatuh atau dihancurkan oleh Iran dipamerkan.

Turut dipamerkan adalah sistem pertahanan udara Iran yang telah menembak jatuh dron tentera AS pada Jun.-Agensi