Home Utama Kit Siang, kenapa tak salahkan Guan Eng?

Kit Siang, kenapa tak salahkan Guan Eng?

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menempelak Lim Kit Siang kerana tidak mahu menyalahkan Lim Guan Eng yang menyebabkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan ASEAN jatuh.

Sebaliknya, Penasihat DAP itu menyalahkan sebaran berita palsu dan ucapan kebencian sebagai faktor yang menyebabkan kejatuhan ranking pelaburan kita.

Pada tahun 2017 Malaysia berada di tempat pertama dan 2018 jatuh di tangga keempat.

Bertambah malangnya ialah untuk tahun 2019, Malaysia jatuh lagi teruk ke tempat 13 dan pertama kali dikalahkan di rantau ASEAN oleh Vietnam yang naik ke tempat ke-8.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, andainya beliau masih menerajui pentadbiran negara ini, sudah pasti Kit Siang akan menyalah dan menuduhnya gagal.

Najib menyifatkan dakwaan sebaran berita palsu yang didakwa punca ranking pelaburan negara jatuh sebagai amat kelakar.

Beliau mendakwa, DAP adalah pakar berita palsu serta penghasut kebencian utama selama ini.

Tetapi kini Kit Siang menyeru semua pihak untuk menghentikan penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian untuk tempoh 10 tahun untuk mewujudkan polarisasi kaum dan agama bagi rakyat Malaysia untuk membina negara berkelas dunia dalam dekad akan datang

“Amatlah kelakar dan hipokrit Kit Siang ini,” kata Najib.

Ini kerana, katanya, berita palsu dan hasutan sebagai senjata utama Pakatan Harapan (PH) selama ini, malah gabungan parti pemerintah itu juga yang bersungguh-sungguh hendak hapuskan akta berita palsu sebelum PRU14.

Malah, katanya, PH menjadi kerajaan atas jasa berita palsu dan hasutan mereka.

“Dan mereka juga yang mahu hentikan berita palsu serta hasutan beransurkan kebencian,” tambahnya. – MalaysiaGazette