Home Utama Sudah tukar MB baharu tapi Johor masih kaku

Sudah tukar MB baharu tapi Johor masih kaku

Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Meskipun Johor telah menyaksikan pertukaran Menteri Besar tetapi isu perumahan rakyat terutama untuk generasi muda masih kabur, sama ada projek baharu untuk dibeli atau sewa beli.

Semua projek pembinaan yang sedang berjalan adalah dimulakan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, kerajaan negeri Johor Pakatan Harapan (PH) seolah-olah tidak bergerak untuk melaksanakan tanggungjawab memenuhi kehendak rakyat.

“Semuanya dibuat oleh pemerintah dulu. Dari pembesaran dan penambaik jalan-jalan utama dan jambatan di Kg Melayu Majidee adalah hasil perancangan sebelum PRU14. Tapi ada juga yang telah dihentikan.

“Adalah nyata sangat, walaupun negeri Johor telah bertukar menteri besarnya, seolah macam tidak ada kerajaan yang bergerak untuk melaksanakan tanggungjawab memenuhi kehendak rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Shahrir mengakui masalah besar di kawasan bandaraya Johor Bahru ialah kekurangan tanah yang boleh dibangunkan untuk penempatan generasi baru bandar dalam kawasan bandar.

Oleh sebab itu, kerajaan dulu telah bersetuju untuk mengambil balik tanah-tanah industri Larkin di seberang rel kereta api untuk dibangunkan sebagai penempatan baru generasi baru Johor Bahru.

Perancangan ini sepatutnya diteruskan supaya generasi baru Johor Bahru boleh kekal di situ.

Pengambilan semula tanah industri Larkin dan menukar kegunaan tanah dari industri ke perumahan akan memenuhi keperluan perumahan orang Johor Bahru tetapi itu hasrat kerajaan dulu.

“Yang sekarang, semacam kaku. Sudahlah sudah bertukar menteri besar, dari seorang yang menipu kelulusan akademiknya kepada seorang doktor tapi tetap lagi kerajaan “empat suku” yang tidak bermaya dan tidak ada haluan.

“Yang diutamakan perumahan swasta yang tidak terjual kerana ketamakan keuntungan pemaju-pemaju. Dan bukan untuk menyelesaikan keperluan rakyat biasa,” katanya. – MalaysiaGazette