Home Nasional BN berjaya basmi kemiskinan, fakta tidak tepat – Anwar Ibrahim

BN berjaya basmi kemiskinan, fakta tidak tepat – Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata fakta bahawa kerajaan terdahulu berjaya menangani kemiskinan adalah fakta yang tidak tepat.

Sebaliknya, Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen itu berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah gagal memperjuangkan isu kemiskinan meskipun kerajaan ketika itu membelanjakan berbilion ringgit untuk pembasmian kemiskinan.

“Dengan menggunakan data yang tidak tepat, kerajaan terdahulu telah menyatakan bahawa masalah kemiskinan telah hampir dibasmi sepenuhnya.

“Kita tahu kenyataan itu tidak tepat dan saya sendiri menyaksikan kemiskinan di setiap bandar dan kampung yang saya lawati di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berkata, laporan yang dikeluarkan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung kemiskinan tegar dan hak asasi manusia oleh Prof Philip Alston telah membuka mata pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengenai keadaan sebenar negara kini.

Justeru itu, tambah Anwar lagi, kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik statistik dan terus tidak mempedulikan realiti sebenar yang mengesankan rakyat terbanyak.

“Laporan PBB tersebut turut membuktikan betapa lebih dua dekad lalu ekonomi kita tidak berkembang dan bertumbuh.

“Pertumbuhan kekayaan hanya tertumpu kepada elit bandar manakala majoriti besar yang di bawah terus dirundung dengan permasalahan gaji yang tidak meningkat dan peningkatan kos sara hidup,” katanya lagi.

Pada 23 Ogos 2019 lalu, Philip Alston merumuskan kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah jauh lebih tinggi, hampir sama dengan negara lain iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus.

Alston yang juga pakar hak asasi manusia PBB berkata, ia adalah hasil penemuannya selepas mengadakan lawatan ke negara ini selama 11 hari bermula 13 Ogos lalu.

Katanya, kadar 0.4 peratus tidak menunjukkan realiti di peringkat akar umbi.

Menurut Anwar lagi, Kaukus Reformasi Dan Tadbir Urus akan mengadakan Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan pada 24 September depan.

Ia bagi memberi penjelasan kepada Ahli-ahli Parlimen dan pegawai-pegawai kerajaan dalam memahami permasalahan terkait kemiskinan di Malaysia. -MalaysiaGazette