KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, dulu Pakatan Harapan (PH) lantang membantah caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 sen yang dikenakan untuk setiap pengeluaran duit dari ATM melalui rangkaian MEPS.
Padahal caj itu hanya dikenakan jika menggunakan ATM milik bank yang berlainan dari bank pengguna.
Lalu, PH menghasut rakyat bahawa GST cekik darah kerana mengenakan cukai peratus ke atas setiap pengeluaran wang ATM.
“Itu caj 6 sen atau 6 peratus ke atas caj servis RM1 MEPS. Bukan 6 peratus ke atas jumlah wang yang dikeluarkan dari ATM,” kata Najib.
Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Rais Yatim, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Negeri Sembilan yang menyeru orang ramai membantah tindakan beberapa bank yang mengenakan caj pada perkhidmatan di kaunter dan mesin deposit tunai (CDM) bagi pembayaran bil kad kredit.
Bekas menteri Kabinet itu berkata, caj tersebut sebagai keterlaluan dan membebankan pengguna terutama golongan B40.
“Sedar-sedar Facebook baharu lapor – setiap khidmat kaunter bank kini kena caj RM2? Kalau benar, caj ini jelas mencekik sebab yang guna khidmat kaunter kebanyakan guru, golongan B40, peneroka, nelayan dan peruncit.
“Sehelai cek sudah lama kena caj. Untung bank berbilion ringgit. Mari bantah,” kata Rais menerusi ciapan yang dimuat naik melalui akaun Twitternya.
Najib yang mengulas seruan Rais itu menyifatkan kerajaan PH ajak rakyat untuk membantah kerajaan PH yang secara senyap-senyap mengenakan caj RM2 bagi kemasukan wang tunai dan cek di kaunter atau melalui mesin.
Sindir Najib, bukan caj itu sahaja tetapi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengenakan cukai baru RM25 setiap keping kad kredit sejak awal tahun ini. – MalaysiaGazette