Home Ekonomi Kerajaan ada bukti untuk siasat import konkrit keluli dari Singapura, Turki

Kerajaan ada bukti untuk siasat import konkrit keluli dari Singapura, Turki

Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah membuat penentuan awal berkenaan penyiasatan anti-lambakan mengenai mengenai import keluaran batang penulangan konkrit keluli (Rebar) yang berasal atau dieksport dari Singapura dan Turki dan mendapati bukti mencukupi untuk meneruskan siasatan terhadap pengimportan produk berkenaan dari negara-negara tersebut.

Siasatan itu seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993.

Kementerian Perdagangan Antrarabangsa dan Industri berkata, kerajaan juga telah memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal.

Duti anti-lambakan sementara di antara nil hingga 20.09% akan dikenakan ke atas import dagangan subjek dari negara-negara berkenaan dan ianya akan berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai 23 September 2019.

Penyiasatan ini telah dimulakan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 pada 26 April 2019 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Malaysia Steel Association (Pempetisyen) yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.

Katanya, pempetisyen mendakwa rebar yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan telah diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut.

Pempetisyen mendakwa keadaan ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di
Malaysia.

Penentuan muktamad akan dibuat tidak lewat daripada 21 Januari 2020. Pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai Penentuan Awal dengan membuat permohonan bertulis kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di alamat berikut:
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Aras 9, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur

– MalaysiaGazette