Home Nasional KPKT yakin 80 peratus rumah mampu milik dijual menjelang akhir tahun

KPKT yakin 80 peratus rumah mampu milik dijual menjelang akhir tahun

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pra Pelancaran Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) 2019 di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin kira-kira 80 peratus rumah mampu milik dijual menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sasaran tersebut mampu dicapai menerusi Kempen Pemilihan Rumah Mampu Milik (HOC) yang akan dilancarkan pada 4 hingga 6 Oktober depan di Nu Sentral.

“Ini pertama kali HOC bawa rumah dengan harga RM300,000 ke bawah. Kita sasarkan boleh capai sekurangnya 80 peratus daripada unit jualan dengan nilai RM1.6 bilion,” katanya pada sidang media selepas majlis Pra Pelancaran HOC di KL Sentral, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Raja Kamarul Bahrin Shah dan Ketua Setiusaha KPKT, Mohammad Mentek.

Sejumlah 10,577 unit rumah akan ditawarkan kepada pembeli yang akan dijual pada harga RM300,000 ke bawah.

Tambah beliau, sebanyak 7,177 unit rumah akan dipamerkan pemaju hartanah swasta manakala sebanyak 3,400 rumah dari agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, sebanyak 48,585 unit rumah yang berharga RM300,000 ke bawah masih belum terjual merangkumi 36,512 unit dalam pembinaan dan 12,073 unit yang telah siap.

Ia berdasarkan Laporan Suku Pertama Tahun 2019 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC). – MalaysiaGazette