LONDON – Jurgen Klopp menyifatkan pasukan the Reds tidak perlu bersaing dengan gaya persembahan Manchester City sebaliknya kedua-dua kelab itu kena bertarung untuk mengungguli carta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pengurus Liverpool itu berkata, anak buahnya tidak berada dalam aksi terbaik di Stamford Bridge walaupun menang tipis 1-2 malam tadi.
Tetapi katanya, kemenangan tiga mata penuh dengan keputusan 2-1 untuk mengekalkan jurang lima mata dengan pencabar terdekatnya the Citizens penting untuk mempertahankan tangga teratas liga.
Skuad Pep Guardiaola berjaya mengekalkan kemenangan bergaya apabila mencipta rekod kelab berpesta gol dengan membelasah Watford City 8-0 di Stadium Etihad, Manchester pada Sabtu lalu.
Klopp mengakui bukan semua pasukan EPL boleh beraksi seperti mana anak buah Guardiola.
“Namun kami bermain dengan cara kami tersendiri dan cuba menang setiap perlawanan kerana pada akhirnya kami perlu mendapatkan mata.
“Ini bukan soal perlumbaan teknikal tetapi tentang mengumpul mata,” katanya.
Sepakan percuma Alexander Arnold dan tandukan Roberto Firmino di separuh masa pertama memberi keputusan bermakna untuk skuad juara Eropah 2018/2019 itu. – MalaysiaGazette