Home Utama 1MDB: Najib teruskan terbitan IMTN walaupun Sultan Mizan murka

1MDB: Najib teruskan terbitan IMTN walaupun Sultan Mizan murka

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Saksi ke-9 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion diteruskan walaupun mendapat bantahan Yang di-Pertuan Agong merangkap Sultan Terengganu ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bekas Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan pihaknya meneruskan sahaja penerbitan IMTN pada 2009.

Shahrol mendakwa, arahan itu telah diberikan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low pada 27 Mei 2009.

“Ketika itu, saya telah mendapat panggilan telefon daripada Jho Low yang meminta saya mengikut sahaja arahan Najib yang merupakan Perdana Menteri meneruskan sahaja penerbitan IMTN walapun mendapat bantahan daripada pemegang saham.

“Sebelum itu, Jho Low tampak terkejut dengan keputusan Baginda tentang perkara tersebut kemudian memohon sedikit masa bagi menyelesaikan isu itu sebelum menghubungi saya semula.

“Panggilan seterusnya, Jho Low menghubungi saya semula dan meminta saya pergi ke rumah Najib di Jalan Langgak Duta pada malam itu pada jam 8 ke 9 malam,” katanya ketika membaca penyataan saksi sebelah petang.

TIA kemudian ditukar nama kepada 1MDB.

Shahrol mendedahkan dalam pertemuan itu arahan bagi meneruskan pelaksanaan IMTN itu diberikan Najib di kediaman beliau itu.

“Pada masa sama saya ada menghubungi Casey Tang (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB) dan memaklumkan status itu serta memintanya berbincang dengan Ambank sekiranya memerlukan IMTN digantung.

“Casey Tang memaklumkan ia tidak boleh digantung kerana perjanjian sudah dimeterai dan Pengurus Perhubungan Ambank ketika itu, Joanna Yu juga memaklumkan sebahagian bon itu sudah dibeli ketika ‘book building exercise’ (tempah). Ia dikira melanggar perjanjian yang sudah dimeterai,” terangnya.

Saksi itu juga mendedahkan ketika bertemu Najib, Jho Low sudah berada di kediaman itu terlebih dahulu dan berdasarkan pengamatannya, seolah-olah Najib dan Jho Low sudah ‘berbincang’ terlebih dahulu.

“Sejurus sampai, Najib terus tanya kepada saya sama ada saya tahu kenapa Tuanku murka dan saya menjawab, saya tidak tahu. Kemudian beliau tanya jika ada salinan resolusi.

“Selepas itu beliau berkata seperti ini: ‘You go ahead, I will talk to Tuanku’ (Kamu teruskan, saya akan cakap dengan Tuanku).

“Sudah tentu saya terima arahan daripada Perdana Menteri sebagai mandat yang juga Menteri Kewangan pada masa itu untuk meneruskan IMTN kerana beliau menteri yang bertanggungjawab memberikan ‘Jaminan Kerajaan’ itu.

“Selang itu, saya pulang manakala Jho Low masih lagi berada di rumah Najib,” ujarnya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berdepan dengan tuduhan penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion selain 25 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan ketika menjawat jawatan tersebut.

Prosiding ditangguhkan dan bersambung esok di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah jam 9.15 pagi. –MalaysiaGazette