Home Nasional 81 ditahan, barangan judi dalam talian bernilai hampir RM1 juta dirampas

81 ditahan, barangan judi dalam talian bernilai hampir RM1 juta dirampas

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim
Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Polis menahan 81 individu dan merampas pelbagai barangan judi dalam talian bernilai hampir RM1 juta dalam operasi di sekitar ibu negara sejak Ogos hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kesemua suspek berusia 14 hingga 30 tahun itu ditahan kerana disyaki mengendalikan pusat panggilan kegiatan perjudian dalam talian.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 58 lelaki dan 10 wanita warga China serta 11 lelaki dan dua wanita tempatan.

“Mereka yang ditahan disyaki mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian selain ada yang bekerja sebagai penjaga premis.

“Polis merampas pelbagai barangan seperti komputer riba, telefon bimbit, modem dan wang tunai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Md Isa dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya.

Beliau berkata, siasatan mendapati pusat panggilan perjudian dalam talian ini dikesan beroperasi di kondominium dan bangunan pejabat.

“Mereka (suspek) ini menyewa kondominium dengan harga RM13,000 sebulan dan mereka menyasarkan kaki judi dari China sebagai pelanggan mereka.

“Polis percaya keuntungan bersih diperoleh daripada kegiatan judi adalah lebih RM5 juta,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa China bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian.

“Lebih banyak operasi akan dilaksanakan selaras arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang komited untuk membanteras kegiatan judi dalam talian,” katanya. – Bernama