ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila gempa bumi berskala 5.8 melanda daerah Mirpur, Azad Jammu dan Kashmir, Pakistan.
Menurut laporan rangkaian televisyen Pakistan, tiga orang dilaporkan terkoran dan 50 lagi mengalami kecederaan.
Anggota polis dan tentera telah memulakan operasi menyelamat di kawasan terbabit.
Gempa bumi itu menyebabkan kemudhanan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon di Jatlan dan Mirpur mengalami kerosakan.
Sementara itu, menurut sumber Lembaga Pembangunan Air dan Tenaga (WAPDA), empangan Mangla tidak terjejas.
“Terdapat laporan kerosakan, itu sahaja yang saya ketahui setakat ini. Saya boleh mengesahkan bahawa seorang wanita telah meninggal dunia dan beberapa orang tercedera,” kata Timbalan Pesuruhjaya Daerah Mirpur, Raja Qaisar kepada rangkaian televisyen Geo TV.
Terdahulu, gempa bumi menggegarkan ibu negara Islamabad dan bandar lain di timur daerah Punjab yang menyebabkan penghuni kediaman dan bangunan tinggi bertempiaran lari menyelamatkan diri. Gegaran turut dirasai di utara India.
Jabatan Meteorologi Pakistan berkata, menurut penilaian awalnya, pusat gempa bumi itu berada berhampiran dengan bandar Jehlum di daerah Punjab. – MalaysiaGazette