Home Dunia Indonesia namakan 249 suspek bakar hutan

Indonesia namakan 249 suspek bakar hutan

Anggota bomba memadamkan kebakaran di satu kawasan di Londerang, Jambi. foto Agensi

JAKARTA – Polis Indonesia telah menamakan 249 suspek yang terlibat dalam kes kebakaran hutan.

Ia termasuk enam syarikat yang juga dinamakan sebagai suspek yang menyebabkan jerebu.

“Jumlah itu dijangka meningkat kerana siasatan masih diteruskan,” kata jurucakap polis, Muhammad Iqbal.

Jambi adalah wilayah yang paling buruk dilanda jerebu menyebabkan hampir 100 anggota bomba dan pihak berkuasa lain terpaksa melakukan pemadaman di seluruh kawasan gambut yang terletak kira-kira 3 kilometer dari kawasan perkampungan penduduk.

Malah, kualiti udara Jambi mencecah paras bahaya pada hujung minggu lalu menyebabkan semua sekolah dan universiti terpaksa ditutup.

Forum untuk Alam Sekitar (Walhi) mendedahkan hampir 20,000 hektar tanah hutan telah terbakar pada tahun ini, dengan 60% kawasan dimiliki oleh syarikat dengan permit industri.

Tanah-tanah yang dibakar dipercayai akan dibuka untuk perladangan.

“Tetapi tidak ada tindakan tegas dilaksanakan ke atas syarikat-syarikat berkenaan, yang sepatutnya dibuat oleh polis dan kementerian berkaitan,” kata Pengarah Walhi, Rudiansyah.

Agensi Bencana Nasional (BNPB) menyatakan kira-kira 11, 000 hektar tanah telah dibakar di Jambi pada bulan Ogos. Kebakaran juga terjadi di dua Riau dan Sumatra Selatan di Pulau Sumatra.

Menurut BNPB, hampir 50,000 hektar tanah dan 11,500 hektar hutan telah dimusnahkan oleh api di Riau dan Sumatera Selatan, dalam tempoh yang sama.

Kerajaan telah mengerahkan 23,039 anggota bersama dan menggerakkan 48 helikopter untuk mengebom air untuk memadamkan kebakaran. – MalaysiaGazette