KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya komited dalam melestarikan perkembangan bidang seni budaya dan warisan termasuklah seni tampak.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ia seiring dengan hasrat kerajaan memacu sektor pelancongan dan kebudayaan sebagai pemangkin pertumbuhan sisoekonomi yang mampan serta memperkasa memelihara dan memulihara seni, budaya dan warisan negara.
“ASWARA (Ademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) menyediakan pelbagai kursus pengajian, penyelidikan, latihan dan program-program seumpanya bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“ASWARA berusia 25 tahun penubuhan dan telah melahirkan hampir 1,500 graduan yang mengisi pelbagai ruang pekerjaan di pelbagai sektor dan bidang.
“Permintaan kepada graduan ASWARA cukup tinggi apabila kajian pengesanan graduan menunjukkan bahawa lebih 80 peratus graduan ASWARA berjaya memasuki sektor pekerjaan sebaik tamat pengajian,” katanya dalam ucapan aluan pada Pameran Harumanis Julung kali di ASWARA hari ini.
Pameran berkenaan dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Majlis Pameran Harumanis di Galeri ASWARA yang mempamerkan 32 karya seni visual hasil tujuh pengiat seni tempatan melibatkan sentuhan buah Harumanis yang menjadi ikon Perlis Indera Kayangan.
Mohamaddin seterusnya menjunjung kasih tidak terhingga atas sokongan Tuanku Syed Faizuddin dalam mengetengahkan bidang seni tampak yang pesat berkembang positif dalam negara ini.
Beliau memuji tenaga pengajar fakulti rekaan komunikasi visual ASWARA yang berusaha menjayakan pameran julung kali ini diadakan itu samping menyumbang sebanyak 15 karya kepada Galeri Seni Perlis sebagai koleksi pameran tersebut yang akan berlangsung sehingga 30 Oktober ini.- MalaysiaGazette