KUALA LUMPUR – Pengundi muda di negara ini dinasihatkan agar tidak terus melekat kepada trend politik semata-mata.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, budaya mengikut trend semasa politik oleh golongan muda ini tidak sihat kepada negara kerana bergantung kepada isu semasa sahaja.
“Orang muda tidak setia kepada satu-satu jenama. Dia ikut trend, dia akan kekiri dan ke kanan. Ini tidak baik dan pemuda tidak perlu begitu. Memang PRU14 dan PRK, peti undi yang paling kita takuti adalah daripada peti undi golongan muda.
“Tapi di DUN Rantau, peti undi yang banyak memenangkan saya adalah peti undi golongan muda. Agaknya orang muda suka dengan saya,” katanya dalam Forum Keterlibatan Mahasiswa Dalam Politik di Universiti Malaya (UM), sebentar tadi.
Justeru itu, UMNO sebagai parti politik bertunjangkan melayu tidak harus menetapkan sesuatu nilai kepada perjuangan politik.
Malah katanya, UMNO perlu memahamkan golongan muda asas perjuangan parti agar terus diterima.
“Sebagai sebuah parti kita jangan tetapkan nilai kita kepada umum. Jangan ikut trend orang sahaja. Kita mesti bersama dan tengok apa yang orang muda buat supaya tiada percanggahan budaya dan jurang usia.
“Kita perlu terangkan dan pastikan orang muda faham dan memahami isu yang dimainkan. Politik sekarang sudah berubah daripada politik perkhidmatan dan berubah kepada isu.
“Ini merbahaya kerana kadang boleh jadi betul atau tidak. Jadi anak muda berupaya mentelaah isu yang dimainkan betul atau fitnah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette