Home Nasional SUV terhumban : 85 keping gambar insiden kemalangan dirakam – Saksi

SUV terhumban : 85 keping gambar insiden kemalangan dirakam – Saksi

Usaha mengangkat keluar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke laut Ahad lepas berjaya, apabila sebahagian daripada badannya mulai timbul di permukaan laut kira-kira pukul 5.45 petang.

BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 85 keping gambar berhubung insiden kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan sebuah kereta Toyota Vios telah diambil oleh seorang jurufoto polis trafik bagi merakamkan detik-detik dan kesan kemalangan yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang, 20 Januari lalu.

Koperal Abdul Rashid Mahmud, 59, dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah berkata, gambar-gambar berkenaan diambil dalam dua kejadian iaitu semasa kemalangan 20 Januari dan pada 22 Januari ketika SUV yang terhumban ke laut itu berjaya dibawa naik ke atas jambatan.

Abdul Rashid berkata demikian semasa memberikan keterangan di Mahkamah Majistret pada hari pertama perbicaraan kes bekas pekerja salon K. Vaitheswaran, 21, yang dituduh menyebabkan kematian seorang pelajar kolej, Moey Yun Peng,20, selepas SUV yang dipandunya terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang pada Januari lepas.

Pada prosiding hari ini Abdul Rashid yang merupakan saksi pertama pendakwaan turut menunjukkan kesemua gambar tersebut dan memberikan perincian gambar itu kepada mahkamah.

Dalam keterangannya, Abdul Rashid berkata, kesemua gambar itu meliputi 23 keping gambar kejadian kemalangan, 26 keping gambar kenderaan SUV diangkat dan 34 keping adalah gambar bedah siasat.

“Gambar-gambar yang diambil adalah gambar geseran kedua-dua kereta di pembahagi jalan, kesan tayar atas jalan, kesan kemalangan, gambar kereta dibawa naik ke atas jambatan dan gambar bedah siasat mangsa,” katanya.

Terdahulu Abdul Rashid berkata, beliau menerima arahan daripada Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Farid Mohd Zahard untuk ke lokasi kemalangan di Kilometer 3.40 Jambatan Pulau Pinang bagi merakamkan foto insiden kemalangan di lokasi tersebut pada jam 2.50 pagi, 20 Januari lalu.

Pada 11 Februari lalu, Vaitheswaran dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 dan hilang kelayakan lesen memandu sehingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Dia yang diwakili peguam S. Parameswaran didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pada kira-kira pukul 3 pagi 20 Jan lepas.

Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV itu hilang kawalan dan terjunam ke laut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Zakaria.

Perbicaraan di hadapan Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzah Fariz Ahmad Khairuddin bersambung 20,21 November dan 3 Disember ini. – Bernama