KUALA LUMPUR – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) digesa mewujudkan satu jawatankuasa pelaksanaan resolusi yang diluluskan dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 (KBN 2018) pada 1 September lalu.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee berkata, ia bagi memastikan resolusi yang dihasilkan dalam kongres dua hari itu benar-benar terlaksana.
“Di luar sana, ada banyak bercakap tentang kerajaan baru hari ini tidak melayani usahawan-usahawan Melayu, usahawan Melayu ketinggalan seolah-olah dalam kritikal, saya tak nampak begitu.
“Saya nampak selepas lima bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, terus Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan kongres bumiputera itu pada 1 September lalu.
“Saya menyeru pihak sekretariat MEA mewujudkan satu jawatankuasa pelaksanaan resolusi yang diluluskan dalam kongres itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DPMM, Bukit Damansara hari ini.
Syed Hussein juga berkata, apabila jawatankuasa pelaksanan itu ditubuhkan nanti, mana-mana pihak tidak perlu menganjurkan satu lagi kongres Melayu seumpama itu.
“Bagi DPMM, tak payah lagi ada kumpulan-kumpulan nak menganjurkan lagi kongres-kongres bumiputera, tiada keperluan, seolah-olah kita dalam awangan.
“Saya minta MEA yang menjadi sekretariat kongres bumiputera itu hendaklah menjalan atau melaksanakan resolusi-resolusi pada kongres hari itu,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan PH digesa meletakkan isu pembangunan usahawan bumiputera menjadi agenda nasional negara.
“Tiada lagi dewan-dewan lain melainkan DPMM yang dapat memperjuangkan usahawan-usahawan bumiputera. Kita minta kerajaan tidak malu dan tidak segan mestilah meletakkan pembangunan usahawan bumiputera menjadi agenda nasional,” katanya.
Katanya lagi, suara ahli DPMM itu mesti ada dalam agensi-agensi yang melibatkan dalam pembangunan usahawan seperti MARA, SME Bank, HRDF, HDC, Tekun, QNS dan Teraju.
“Selepas ini kami akan tulis kepada menteri-menteri berkenaan, selepas sebulan kalau tiada jawapan, kami akan laporkan kepada Perdana Menteri.
“Bukan kami nak minta geran atau dana tapi hanya untuk memastikan suara DPMM dalam agensi-agensi kerajaan. Dulu kita ada wakil dalam MARA dan beberapa agensi lain, kita hanya nak kembalikan sahaja (suara).
“Kalau PH serius memperkasakan usahawan bumiputera, inilah salah satu cara dengan memastikan suara-suara dewan ada di agensi-agensi ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette