Home Ekonomi YaPEIM perkenal 3 produk baharu Ar-Rahnu

YaPEIM perkenal 3 produk baharu Ar-Rahnu

Pemangku Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM), Parihah Hasan bercakap pada sidang media mengenai Foodbank, inisiatif YaPEIM bantu kelompok B40 di Bilik Mesyuarat Ketua Pengarah YaPEIM, Tingkat 8, Grand Season Avenue, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkenalkan tiga produk baharu bawah Program Ar-Rahnu bagi membantu masyarakat menyimpan dan menggadai barang kemas berasaskan emas.

Produk yang berasaskan kepada program mikro kredit itu skim Ar-Rahnu Bisnes, skim Ar-Rahnu Emas dan skim Ar-Rahnu Didik YaPEIM.

Menurut Pemangku Ketua Pengarahnya, Parihah Hasan, walaupun YaPEIM terlibat dalam program mikro kredit Ar-Rahnu sejak tahun 1993 dengan kerjasama Bank Rakyat  tetapi ia penting diperluaskan memandangkan itu adalah keperluan utama masyarakat.

“Untuk membantu masyarakat kawasan luar bandar mendapatkan kemudahan mikro kredit, YaPEIM pada tahun 2000 melalui Koperasi YaPEIM Berhad telah memperkenalkan konsep Ar-Rahnu di seluruh negara.

“Kawasan liputan kita ialah bandar-bandar yang lebih kecil, di mana mengikut kajian yang kita lakukan, masyarakat di sini lebih memerlukan kemudahan tunai.

“Tahun itu juga kita memulakan langkah untuk meneroka Ar-Rahnu ini dan kita menawarkan perkhidmatan ini ke seluruh negara,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, sehingga kini YaPEIM mempunyai 212 cawangan Ar-Rahnu iaitu sebanyak 203 cawangan statik dan Sembilan kaunter bergerak di seluruh negara.

Katanya, YaPEIM memperkenalkan produk baru itu kerana berdasarkan kajian mendapati sebanyak 21 peratus penggadai menggunakan khidmat itu untuk mendapatkan tunai bagi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Justeru, kita perkenalkan tiga produk ar-rahnu ini untuk membantu mereka,” katanya yang turut memaklumkan terdapat kira-kira 135,000 usahawan menggunakan khidmat ar-rahnu bagi tujuan perniagaan.

“Manakala Ar-Rahnu Didik pula produk ini bertujuan untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang mempunyai barang kemas atau emas, bila anak hendak melanjutkan pengajian ke universiti, mereka tidak ada tunai.

“Jadi, YaPEIM sediakan produk Ar-Rahnu Didik untuk mereka mendapatkan tunai dan membiayai pengajian anak-anak,” katanya yang mengikut data diperolehi, 23 peratus masyarakat menggadai melalui Ar-Rahnu bagi tujuan pendidikan.

Parihah menambah, produk ketiga yang turut diketengahkan ialah Ar-Rahnu Emas iaitu YaPEIM mengeluarkan produk emas sendiri di bawah jenama YaPEIM Gold.

Menerusi produk itu, pihaknya menggalakkan masyarakat menyimpan emas dan jika memerlukan tunai, boleh menggadaikan di situ. – MalaysiaGazette