Home Dunia Boris Johnson degil tak mahu letak jawatan PM

Boris Johnson degil tak mahu letak jawatan PM

Boris Johnson bertegas tidak akan berundur dari jawatan PM walaupun mahkamah membatalkan keputusannya menggantung Parlimen sebagai tidak sah.

LONDON – Boris Johnson dilaporkan tidak akan berundur dari jawatan Perdana Menteri walaupun selepas Mahkamah Tertinggi Britain semalam memutuskan tindakan penggantungan sesi Parlimen sebagai tidak sah.

Mahkamah memutuskan bahawa nasihat Boris kepada Ratu England adalah tidak berlunaskan undang-undang yang termaktub dan tidak laku.

Johnson yang berada di New York ketika keputusan itu diumumkan bagaimanapun memberitahu pemberita yang beliau  menentang keputusan mahkamah tersebut.

Sumber Downing Street juga mengesahkan Johnson akan pulang segera dari Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari New York untuk mengadakan sidang Parlimen pagi ini.

“Saya mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap badan kehakiman serta kebebasan mahkamah kita. Bagaimanapun saya tidak bersetuju dengan keputusan kehakiman yang dibacakan semalam.

“Namun kami di United Kingdom tidak akan berganjak daripada mewakili rakyat untuk memastikan keluar dari Kesatuan Eropah pada 31 Oktober ini kerana itulah yang dimandatkan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn pula mendesak Perdana Menteri mempertimbangkan semula kedudukannya ekoran keputusan bersejarah mahkamah semalam.

Bercakap pada persidangan di Brighton, Jeremy berkata:” Ia menunjukkan perdana menteri secara tidak sah menutup Parlimen.

“Ia satu tindakan yang dianggap menghina demoktrasi dan penyalahgunaan kuasa oleh Boris dan menyeru dia supaya mempertimbangkan semula kedudukannya sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Manakala seorang lagi pemimpin turut mendesak Johnson untuk berundur dari jawatannya sambil menyifatkannya sebagai tidak layak menyandang jawatan itu. – MalaysiaGazette