KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan tindakan pemimpin DAP dan sekutunya yang kerap mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama sebagai makhluk perosak.
Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, ini kerana parti pemerintah itu seringkali menunjukkan sikap terbuka mencabar kedudukan Islam, hak-hak istimewa orang Melayu bumiputera dan raja-raja.
“Pasca Himpunan Perpaduan Ummah dan termeterainya Piagam Muafakat Nasional turut menyatakan dengan jelas agenda perpaduan nasional ini tanpa ragu-ragu.
“Namun, terlalu banyak kenyataan berbaur perkauman dan mencetuskan sentimen agama yang dikeluarkan oleh DAP dan sekutu mereka.
“Mereka ini disifatkan sebagai ‘makhluk perosak’ yang menunjukkan sikap terbuka mencabar kedudukan Islam, hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan Raja-Raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih malang, katanya, apabila terdapat individu dan pimpinan politik yang menghina agama Islam seperti mempertikaikan pemakaian tudung dan aurat, mempersoalkan laungan azan, isu bacaan khutbah serta ibadah khusus yang diamalkan oleh umat Islam.
“Kemuncaknya apabila mereka secara terang campur tangan membantah cadangan untuk meminda Akta 355 Akta Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan orang Islam.
“Mereka juga lantang menyuarakan supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasikan,” katanya.
Kamaruzaman juga kesal tindakan pemimpin DAP terbabit sedangkan bukan Islam bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.
“Kenapa mereka perlu mempertikaikan hal ehwal agama lain sedangkan Islam sendiri tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan ajaran mereka?
“Ini adalah sebahagian tindakan melampau ‘makhluk perosak’ yang boleh menggugat keharmonian negara yang telah dijalinkan selama ini.
“Pas menyuarakan kebimbangan tindakan mereka boleh menyebabkan bencana lebih besar kepada Malaysia jika tidak dibendung dengan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette