Home Nasional Kerajaan digesa batal sertai Konvensyen UPOV

Kerajaan digesa batal sertai Konvensyen UPOV

Koordinator Forum Kedaulatan Makanan, Nurfitri Amir Muhammad (tengah) bercakap kepada media membantah kerajaan menyertai Konvensyen UPOV di Sekretariat IDRIS, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan membatalkan penyertaan Malaysia dalam Kesatuan Antarabangsa untuk Perlindungan Varieti Baru (UPOV) menjelang tahun 2021.

Wakil NGO itu, Nurfitri Amir Muhammad berkata, ini kerana negara tidak pernah terlibat dalam proses rundingan menentukan teks UPOV yang dirangka khas hanya untuk kepentingan syarikat-syarikat benih di negara maju.

Jelas beliau yang juga Koodinator Forum Kedaulatan Makanan, sistem UPOV itu berbeza dengan sistem, keperluan dan kepentingan pertanian di Malaysia sekaligus menafikan hak-hak petani kecil.

“Kebimbangan utama yang akan dibawa oleh UPOV sistem adalah penafian hak petani terhadap amalan kebebasan menyimpan, berkongsi dan menjual benih yang dihasilkan sendiri, menggalakan monopoli, memudahkan kegiatan bio-piracy dan boleh membawa kepada kehilangan kearifan lokal.

“Dengan kebimbangan itu dan kerana Malaysia telah membuat keputusan untuk tidak meratifikasi perjanjian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) atau Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), maka adalah wajar Kabinet Malaysia membatalkan keputusan kerajaan sebelum ini yang memutuskan untuk menyertai UPOV 1991 menjelang tahun 2021.

“Malah UPOV juga telah diturunkan daripada teks Perjanjian Kerjasama Ekonomi Serantau (RCEP) yang masih dalam proses perundingan.

“Ini menguatkan lagi alasan bahawa tidak ada keperluan untuk Malaysia menyertai UPOV,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri wakil sebahagian NGO itu di sini hari ini.

Nurfitri menambah, sistem UPOV hanya menyokong proses perindustrian pertanian yang telah terbukti mengakibatkan kerosakan dan kehilangan tanah kesuburan.

Jelasnya, ia turut membawa kepada kerintangan anti-mikrob akibat penggunaan antibiotik berlebihan, hasil yang kurang nutrisi dan tidak lestari dalam jangka masa panjang.

“Apa jua keputusan yang diambil oleh kerajaan mestilah tidak mengabaikan jaminan bekalan makanan, hak dan akses kepada makanan yang berkhasiat, cukup dan mampu dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya.

UPOV berpengkalan di Geneva, Switzerland dan negara-negara yang ingin menyertai organisasi itu mestilah menandatangani Konvensyen UPOV 1991.

Konvensyen itu memberi hak monopoli kepada pembiak baka terhadap tanaman varieti baru yang diperuntukkan.

Malaysia tidak pernah menyertai UPOV kerana memiliki undang-undang tersendiri yang memberikan hak kepada pembiak baka yang ingin mendaftarkan tanaman baru yang mereka hasilkan.

Namun hujung tahun 2018, Kementerian Pertanian telah mengumumkan pihaknya sedang dalam proses meminda dan memperkenalkan beberapa undang-undang.

Salah satu akta yang dirancang untuk pemindaan adalah Akta PVP2004.

Hal ini disahkan oleh sebuah laporan yang dibentangkan oleh Malaysia kepada East Asia Plant Variety Protection Association Forum (EAPVPF) yang berpusat di Jepun.

Dalam laporan berkenaan dinyatakan bahawa, Kabinet Malaysia pada tahun 2015 telah memutuskan untuk memansuhkan Akta Perlindungan Baru Tumbuhan 2004 supaya selari dengan Konvensyen UPOV 1991 se baga i syarat penyertaan ke dalam TPPA yang kini dikenali sebagai CPTTP.- MalaysiaGazette