KUALA LUMPUR – Keseluruhan keyakinan perniagaan masih lemah, trend yang berterusan sejak bermulanya tahun ini seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI) terbaharu bagi suku keempat 2019-suku pertama 2020.
RAM Rating Services Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, firma-firma mengekalkan prospek yakin dalam berhati-hati sepanjang tempoh enam bulan akan datang. Indeks korporat susut 0.2 mata kepada 53.2 manakala indeks perusahaan kecil dan sederhana (PKS) naik 1.4 mata kepada 53.2.
Menurut agensi penarafan itu, walaupun bacaan terkini bagi korporat dan PKS berada pada 53.2, kedua-dua segmen ini menghadapi keadaan dan prospek yang berbeza.
“Pemacu utama sentimen PKS yang lebih baik pada suku ini adalah keyakinan tinggi terhadap akses kepada pembiayaan bank dan petunjuk prestasi yang bertambah baik. Prestasi PKS banyak dipengaruhi oleh tempahan dan projek baharu. Oleh itu, prospek perniagaan mereka cenderung agak tidak menentu,” kata agensi itu.
Sentimen lemah korporat yang berterusan mencerminkan pandangan mereka terhadap persekitaran ekonomi semasa yang diselubungi oleh ketidakpastian sejak suku keempat 2018.
Pada masa yang sama, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China semakin memburuk, selain petanda jelas permintaan lemah global pada tahun ini.
“Terutamanya, sentimen firma berorientasikan eksport turun 3.6 mata kepada 54.0 dalam kaji selidik terkini,” kata RAM Rating.
Melangkah ke 2020, sektor berorientasikan domestik yang stabil – yang mencatatkan sedikit peningkatan dalam sentimen pada suku ini – akan kekal sebagai pemacu ekonomi asas.
“Penyambungan semula projek pembinaan mega dan prasarana sektor awam, serta sektor perkhidmatan perniagaan yang berdaya tahan, memberikan petanda baik bagi prospek pertumbuhan Malaysia,” kata agensi penarafan itu. – MalaysiaGazette