KUALA LUMPUR – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) berharap kerajaan akan menurunkan atau memansuhkan caj dan syarat tidak perlu dikenakan terhadap pemaju untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan itu.
Presidennya Datuk Ir Soam Heng Choon berkata, pemaju telah mengalami peningkatan kos yang ketara dalam menjalankan perniagaan, terutamanya membabitkan bahan binaan dan perkhidmatan perunding iaitu antara lima dan 10 peratus lebih tinggi.
“Dengan dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan, penjimatan itu boleh disalurkan kepada pembeli rumah dalam bentuk perumahan mampu milik,” katanya kepada Bernama semasa berkongsi hasrat persatuan dalam Belanjawan 2020 akan datang.
Syarat yang perlu dipatuhi pemaju termasuk premium pertukaran status tanah, caj sumbangan modal (untuk infrastruktur dan utiliti) dengan sesetengah petak tanah perlu diserahkan untuk pembinaan loji dan jentera dan setem duti.
REHDA, katanya berpendapat syarikat utiliti swasta seperti Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) tidak sepatutnya mengenakan caj sumbangan modal kerana pemaju sudahpun disyaratkan untuk menyediakan infrastruktur di projek pembangunan mereka selain perlu membawa pelanggan baharu kepada syarikat utiliti.
“Syarikat utiliti ini perlu menyemak semula modal mereka sendiri untuk mendapatkannya semula menerusi tarif berdasarkan penggunaan menerusi pembiayaan persekutuan daripada percukaian am,” kata Soam.
Beliau juga berkata 3.0 peratus Kos Pembinaan Kasar (GCC) didepositkan ke dalam Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) bagi setiap fasa pembangunan projek juga patut dikurangkan kepada 1.0 peratus atau membenarkan pengeluaran dibuat berdasarkan kemajuan pembangunan, sebagai contohnya, 1.5 peratus sebaik sahaja diluluskan dan bakinya apabila siap 50 peratus.
“Deposit berkenaan memberikan kesan teruk terhadap aliran tunai projek bagi pemaju kecil, sederhana mahupun yang lebih besar, dan kesan itu lebih terasa oleh pemaju lebih besar kerana mereka melaksanakan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih besar dan mempunyai banyak projek dilaksanakan pada satu-satu masa.
“Kami juga menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk menyemak semula syarat dan yuran mereka yang tidak menambah nilai kepada pembangunan tetapi hanya mewujudkan lebih banyak kerenah birokrasi dan kos tambahan,” katanya.
Mengenai pemudahcara untuk permohonan pinjaman, Soam berkata REHDA mencadangkan pakej pembiayaan inovatif dengan kriteria fleksibel dapat ditawarkan untuk membantu pembeli rumah pertama kali.
Cadangan bagi pembayaran balik fleksibel adalah dengan memberikan tempoh lebih lama bagi pembayaran balik pinjaman dengan kadar bayaran semasa lebih rendah dan secara beransur-ansur meningkat kemudiannya apabila pendapatan peminjam meningkat, dan menjadikan pembayaran balik bulanan bagi tempoh lima tahun pertama sebagai faedah perkhidmatan.
“REHDA juga berharap skim Pembiayaan Step-Up, sebelum ini diumumkan dalam Belanjawan 2018, dipanjangkan kepada rumah mampu milik ditawarkan sektor swasta, sebagai kaedah untuk merapatkan jurang kemampuan untuk pembeli pertama kali, sama seperti yang diberikan kepada Progaram Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA),” katanya.
Skim itu, antara lain, membolehkan pembeli membayar faedah pinjaman secara ansuran untuk tempoh lima tahun pertama dan mula membayar prinsipal mulai tahun keenam.
Beliau berkata kerajaan juga boleh menimbangkan skim pembiayaan khas yang serupa dengan MyDeposit untuk membantu pembeli rumah pertama kali tetapi hanya untuk hartanah berharga RM300,000 dan ke bawah.
“Untuk melengkapi skim MyDeposit, untuk tempoh masa tertentu, kerajaan boleh memberikan kemudahan seperti pengurangan cukai kepada pemaju yang membantu pembeli mereka dengan pendahuluan deposit 10 peratus,” katanya.
Mengakui bahawa pembayaran deposit adalah satu daripada kekangan untuk membeli rumah, REHDA mencadangkan pembayaran 10 peratus bayaran pendahuluan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disalurkan secara terus kepada pemaju yang berkenaan tanpa pembeli perlu mengeluarkan wang daripada poket mereka sendiri.
“Kami juga mencadangkan peratusan sumbangan dikreditkan ke dalam Akaun 11 KWSP dinaikkan daripada 30 peratus ketika ini kepada 50 peratus,” kata Soam.
Sementara itu, mengenai dasar kuota Bumiputera, beliau berkata REHDA berharap akan ada garis panduan lebih praktikal dan telus untuk memastikan pelaksanaan yang konsisten.
Ia juga mencadangkan kuota 30 peratus diseragamkan di semua negeri dan kadar diskaun lima peratus diberikan kepada hartanah perumahan dan komersial.
REHDA juga mencadangkan kerajaan menubuhkan dana amanah Bumiputera untuk menguruskan levi dibayar pemaju dan wang yang dikutip dikembalikan kepada rakyat dalam kumpulan B40 untuk membantu mereka membeli rumah.
Belanjawan 2020 dijadual dibentangkan pada 11 Okt, 2019. – MalaysiaGazette