Home Ekonomi HOC: Lebih RM14b rumah berjaya dijual setakat ini

HOC: Lebih RM14b rumah berjaya dijual setakat ini

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir. Soam Heng Choon (tengah) membincangkan sesuatu dengan naib presidennya, Datuk N.K. Tong (dua kiri) serta yang lain pada sesi taklimat bersama media mengenai REHDA Property Industry Survey (PIS) 1H 2019 di Wisma REHDA, Kelana Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2019.

PETALING JAYA- Sejumlah 19,784 unit rumah dengan nilai RM14.65 bilion berjaya dijual di bawah Kempen Pemilikan Rumah 2019 (HOC 2019) setakat 13 September lalu.

Menurut Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda), Datuk Soam Heng Choon, kediaman berharga RM500,000 sehingga RM700,000 mencatatkan jualan tertinggi iaitu 7,704 unit diikuti hartanah berharga RM300,000- RM500,000 (4,967 unit) dan RM750,000-RM1 juta (3,968 unit).

“Selangor mencatatkan prestasi jualan tertinggi diikuti oleh Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

“Ini merupakan sesuatu yang memang telah diduga dari awal,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

HOC 2019 yang dilancarkan pada Januari lalu adalah untuk menggalakkan pembeli pertama memiliki kediaman masing-masing dengan memberikan pengecualian dan pengurangan duti setem mengikut harga hartanah tersebut bagi pembelian sehingga akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Rehda yang memiliki lebih 1,000 ahli di seluruh semenanjung berkata, para pemaju hartanah kekal neutral terhadap prospek pasaran bagi baki 2019.

Bagaimanapun, mereka lebih optimis terhadap prospek pada tahun hadapan.

Mengikut kaji selidik yang dijalankan 144 responden yang terdiri daripada ahli-ahli Rehda, kebanyakan pemaju bersetuju kesukaran mendapatkan pembiayaan akhir menjadi punca utama kepada peningkatan unit tidak dijual pada separuh pertama 2019.

Menurut Heng Choon, jumlah hartanah tidak terjual meningkat kepada 5,875 unit pada separuh pertama 2019 berbanding 5,054 unit pada separuh kedua tahun lepas.

Katanya, daripada jumlah tersebut 34 peratus daripadanya adalah dalam kategori semi-D/ banglo manakala rumah teres (28 peratus) dan pangsapuri (24 peratus).

“Lapan puluh lapan responden mengatakan mereka berhadapan dengan masalah pembiayaan akhir yang juga merupakan penyebab kepada unit tidak terjual.

“Ini diikuti oleh unit bumiputera dan permintaan yang lemah,” katanya ketika membentangkan dapatan kaji selidik tersebut.-MalaysiaGazette