Home Utama Inkues: Ibu Adib tidak pernah berhenti berdoa demi keadilan

Inkues: Ibu Adib tidak pernah berhenti berdoa demi keadilan

Asma Aziz tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemubual mengenai anaknya, Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di kediamannya di Kampung Tebengau, Jalan Kuala Kedah, Kedah. foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2018
Asma Aziz

ALOR SETAR – Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban selepas rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada tahun lepas tidak putus berdoa agar keputusan inkues memihak kepada mereka.

Ibu Allahyarham, Asma Aziz, 52, berkata sejak kematian anaknya, dia tidak pernah berhenti berdoa dan berharap keadilan dapat diperoleh bagi arwah Muhammad Adib.

“Masa pergi Mekah untuk tunaikan ibadah Haji tahun ini pun saya tak lupa untuk doakan arwah. Harapan saya sama dengan suami dan rakyat Malaysia supaya keputusan inkues esok memihak kepada arwah Muhammad Adib.

“Petang ini, ada bacaan Yasin di rumah dan malam nanti di Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau dan ramai yang datang beri sokongan kepada kami,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 50 anggota Dewan Muslimat PAS Kuala Kedah, Bahagian Pergerakan Wanita UMNO Kuala Kedah dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Kota Setar hadir membaca Yasin dan tahlil di rumah arwah yang bermula pukul 3.30 petang ini.

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Adib, Mohd Kassim Abd Hamid, 64, berharap keputusan inkues esok akan memberikan ‘kemenangan’ untuk keluarganya.

Prosiding inkues berhubung kematian Muhammad Adib bermula 11 Feb lepas dengan 30 saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk beberapa saksi pakar sebelum prosiding inkues ditutup pada 24 Julai lepas.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

— BERNAMA