Home Nasional Mejar Mohd Zahir: Tentera Darat klasifikasi insiden terpencil, ambil tindakan tatatertib

Mejar Mohd Zahir: Tentera Darat klasifikasi insiden terpencil, ambil tindakan tatatertib

Allahyarham Mej Mohd Zahir Armaya. -foto facebook

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang terlibat dalam insiden kematian Mejar Mohd, Zahir Armaya.

Malah TDM juga akan mengemaskini prosedur operasi standard jika difirkan perlu.

Menurut satu kenyataan, lembaga siasatan telah memuktamadkan siasatan dan membuat keputusan bahawa insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil dan ia merupakan kemalangan dalam latihan.

“Pihak ahli lembaga (siasatan) turut mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik,” kata kenyataan itu.

Mohd Zahir meninggal dunia semasa melaksanakan latihan keupayaan pada majlis Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di kem Lok Kawi, Kota Kibnabalu pada 4 September lalu.

Kejadian berlaku selepas baju kalis peluru yang dipakai Mohd Zahir tertembus selepas terkena tembakan.

Sementara itu menurut kenyataan tersebut, Majlis Angkatan Tentera ke-578 (MAT) yang bersidang pada 17 September lalu bersetuju untuk menaikkan pangkat Mohd Zahir kepada Leftenan Kolonel, tertakluk kepada kelulusan Yang DiPertuan Agong.

Daripada aspek kebajikan, katanya, TDM telah menghulurkan bantuan sewajarnya kepada balu Mohd Zahir, Nour Shafinar Harun dan ahli keluarganya sejak hari pertama kejadian.

Tambahnya, Nour Shafinar dan keluarga juga akan terus diberi bantuan dan faedah mengikut kelayakan yang telah ditetapkan TDM – MalaysiaGazette.